Rencana

Mana lebih afdal, had jawatan PM atau had umur belia – Mahdzir Ibrahim

INI hanya buah fikiran yang dikutip daripada bacaan serpihan idea besar, serta daripada laporan berita akhbar bercetak dan ruang maya. Juga dikumpul daripada borak-borak kosong dengan kawan di kedai kopi ditemani asap kenderaan dan asap rokok yang busuk dan kotor.

Segelintir daripada kami ada yang bercakap mengenai idea jawatan Perdana Menteri (PM) ini patut dipilih terus oleh rakyat, iaitu rakyat mengundi seseorang calon khusus untuk jawatan PM, bukan sekadar mengundi parti yang akan memerintah. Maka, jika idea ini berlaku, mungkin rakyat perlu mengundi dua kali.

Tapi pandangan ini disanggah kerana alasan bahawa sistem perlembagaan kita adalah mengikut model Westminster. Maka untuk mewujudkan pemilihan khusus untuk PM dianggap sukar dan tidak praktikal untuk diubah kerana semua parti bersetuju bahawa model sedemikian memang tak mahu diubah, senang cakap model asal sistem ini tak begitu rupa.

Ada yang kata nak ubah ini kena ubah perlembagaan, kena ubah akta, ubah undang-undang, semuanya memakan proses panjang dan menjerihkan. Malah ada juga yang berpandangan bahawa rakyat susah nak faham proses ini, rakyat tak sedia dan ada yang berhujah bahawa perubahan itu boleh menjadikan sistem kita lebih kelam-kabut lagi. Pokok pangkalnya, idea ini memang tidak dimahukan.

Menolak idea ini tidak menjadi masalah, tapi perbahasan mengenai idea ini harap jangan ditolak sebab manusia sentiasa berevolusi dalam masa. Maka pandangan juga boleh berubah.

Jika perbahasan ini ditolak, maka samalah dengan kita membunuh akal budi manusia. Orang masuk longkang, kita pun terjun ke longkang.

Idea kedua pula adalah untuk menghadkan penggal pemerintahan seseorang PM. Maksudnya, seseorang PM ada had masa maksima untuk memerintah. Mungkin dua atau tiga penggal. Satu penggal umumnya mengambil masa selama empat atau lima tahun. Maka jika maksimum dua penggal, bermakna seseorang PM itu akan berkuasa selama 10 tahun.

Dalam tempoh 10 tahun ini, rasionalnya kita fikir apa jua dasar samada ekonomi, sosial dan kebudayaan boleh dicapai. Namun suka atau tidak, capaian matlamat dalam tempoh 10 tahun ini amat bergantung dengan daya kecekapan dan budaya kerja entiti yang memerintah itu, termasuk budaya politik.

Malah, jika idea ini dipraktikkan, pasti tarikh pilihan raya sudah awal-awal lagi perlu ditetapkan, maka akan hilanglah kelebihan parti yang memerintah. Ini yang dibimbangi penolak idea ini.

Jika kita lihat budaya politik dan budaya kerja seperti sekarang (yang sedang kita amalkan), pastinya empat, lima atau enam penggal sekali pun takkan mencukupi untuk seseorang PM itu berkuasa dan menjalankan dasarnya. Sebab amalan sedia ada adalah amalan warisan, bukan amalan yang memang kita bahaskan menurut perbahasan yang tulen.

Kemalasan membahas untuk memperbaiki sistem dan budaya yang ada, atas apa jua alasan hanya untuk memastikan benda yang tidak pasti itu – pasti.

Contoh daripada amalan warisan ini sudah banyak. Lihat Erdogen di Turki, regim di Timur Tengah malah di Eropah termasuk Malaysia sendiri sebelum Tun Abdullah.

Idea ini bukan ayat mujarobat yang mujarab untuk mengelak lahirnya kepimpinan diktator, tetapi ia boleh jadi mekanisme asas untuk menghadkan ruang penyalahgunaan kuasa, kronisme berwarisan dan korupsi bersistematik.

Memang tidak boleh hapus, sama macam rasuah macam kemalangan kenderaan, ia tak boleh hilang atau dihapus, tapi boleh dikawal. Maka inilah matlamatnya.

Idea ini sebenarnya tidak digemari kebanyakan pihak. Saya menyedarinya.

Kerana had maksimum pemerintah seseorang PM itu juga akan beri kesan terhadap perjalanan pilihan raya, pemerintahan negeri dan paling utama adalah sistem dan budaya kerja yang ada. Malah paling terkesan adalah entiti parti politik itu sendiri.

Seribu satu alasan boleh diberikan untuk menolak pandangan ini, tetapi jika dibandingkan dengan idea Khairy Jamaludin, Menteri Belia dan Sukan untuk ‘mentakrif’ semula umur belia sesungguh satu kerja yang sia-sia dan bodoh.

Pentakrifan semua entiti belia itu tidak memberi makna kepada demokrasi, kebebasan dan sistem yang sedia ada. Ia hanya langkah retorik seorang politikus muda yang ingin jadi juara di kalangan orang bodoh di sekelilingnya, khususnya Pemuda UMNO dan Pemuda BN.

Dengan pentakrifan semula makna belia pada aspek umur, apakah ia akan beri kesan terhadap had umur mengundi di kalangan rakyat khususnya anak muda? Apakah ada perubahan dalam persatuan yang dipimpin belia tua? Apakah ada kesan terhadap dasar dalam kerangka ekonomi negara? Semua soalan ini tidak pula dijelaskan beliau.

Tapi, bukan saya semata-mata nak mengutuk idea Khairy Jamaludin. Saya mengharapkan idea daripada anak muda seperti beliau yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi yang lebih baik dan lebih praktikal yang boleh menyumbang ke arah keberkesanan ‘transformasi’ ketuanya. Apalah nak bandingkan dengan pandangan yang saya lontarkan ini.

Ya, memang idea ini tak digemari sesiapa pun termasuk di kalangan rakan dalam parti sendiri. Berbeza pendapat bukanlah perpecahan sepertimana ‘takrifan’ UMNO BN dan Ketuanan Melayu.-Roketkini.com

MAHDZIR IBRAHIM ADALAH AHLI JAWATANKUASA DAPSY KEBANGSAAN, JUGA SEORANG PENDUKUNG SENI DAN KEBUDAYAAN