Berita

Tubuh RCI siasat tragedi Memali, sementara Mahathir masih ada

KUALA LUMPUR, 31 MAC: DAP mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi pembunuhan Memali, berikutan pendedahan menggemparkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berhubung insiden berdarah itu baru-baru ini.

Dalam satu diskusi di Kota Bharu 27 Mac lalu, Musa mendedahkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya ada di Kuala Lumpur ketika tragedi itu berlaku, bertentangan dengan tanggapan umum bahawa beliau ketika itu berada di China.

Malah, beliau yang menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu berkata “Mahathir turut berada di Kuala Lumpur dua atau tiga hari selepas kejadian.”

“Musa dedahkan rahsia paling lama negara itu. Ia sangat mengejutkan kerana hampir tiga dekad, laporan dan kepercayaan umum anggap Musa bertanggungjawab terhadap insiden itu, kononnya kerana Mahathir melawat China.

“Selama 29 tahun, Mahathir menjarakkan dirinya daripada bertanggungjawab terhadap kematian 18 individu, termasuk empat anggota polis. Jika Musa betul, adakah beliau sebenarnya di belakang serangan Memali, dan malah batalkan arahan awal Musa agar polis tidak gunakan kekerasan?” kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Jelas, katanya lagi, RCI perlu ditubuhkan untuk menyiasat kejadian sebenar, apatah lagi ketika mereka yang terbabit seperti Musa dan Mahathir masih hidup dan dapat memberi keterangan.

“Malah saya usulkan hal ini lama dulu (sebaik selepas ia berlaku) kerana ia bukan masalah Melayu atau Islam, juga UMNO atau PAS, sebaliknya masalah Malaysia,” katanya lagi.

Dalam kenyataan balasnya semalam, Mahathir seperti biasa mengatakan beliau ‘tidak ingat’ sama ada berada di dalam negara atau tidak, kerana ia sudah lama berlaku.

Mengulas jawapan itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, amat sukar dipercayai bahawa seorang yang dianggap memiliki daya ingatan yang kuat seperti Mahathir boleh lupa hal penting seumpama itu.

“(Walhal) ia adalah antara episod paling gelap sepanjang 22 tahun beliau berkuasa,” katanya lagi.

Mahathir sebelum ini turut menggunakan alasan ‘lupa’ ketika ditanya mengenai pembabitan dalam Operasi Lalang 1987 dan ketika memberi kenyataan kepada RCI ‘video VK Lingam’ berhubung skandal penetapan pelantikan hakim.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua Ahli Parlimen agar bersatu dan menyokong usul itu, agar keadaan sebenar dapat diketahui dan dijadikan pengajaran.

“Oleh kerana sesi Parlimen akan diteruskan untuk dua minggu, sangat patut untuk semua Ahli Parlimen, termasuk daripada BN untuk menyokong penubuhan RCI, agar kejadian sebenar yang membawa kepada tragedi itu dapat diketahui dan dijadikan pengajaran agar ia tidak berlaku lagi,” katanya lagi.

Tragedi berdarah Memali berlaku pada 19 November 1985, apabila 400 anggota polis menyerang Kampung Memali yang enggan menyerahkan pendakwah, Ibrahim Libya yang dituduh sesat oleh kerajaan.

Seramai 18 orang terkorban, termasuk empat anggota polis, sementara puluhan lagi cedera dan ratusan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) – Roketkini.com