Berita

RM400 bilion belian balik syarikat tol anggaran hilang akal

KUALA LUMPUR, 4 APR: Gilalah kerajaan Barisan Nasional (BN) jika ia sanggup membayar RM400 bilion untuk membeli balik konsesi tol sedangkan kos membina kesemua 26 lebuhraya swasta tidak sampai RM29 bilion.

Tony Pua menganggap Menteri Kerjaraya Datuk Fadillah Yusof “mungkin telah hilang akal” apabila mendakwa bahawa RM400 bilion diperlukan jika kerajaan hendak membeli semula semua lebuhraya bertol

oleh kerajaan yang dilihatnya sebagai usaha untuk memberi keuntungan melampau kepada kroni BN.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara itu menganggap anggaran sedemikian bertujuan memberi keuntungan melampau kepada kroni BN kerana kos pembinaan semua 26 lebuhraya bertol di Malaysia, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, bernilai hanya RM28.5 bilion.

“Bagaimana kerajaan BN boleh mendapat angka mengarut RM400 bilion, lebih 14 kali ganda kos pembinaan RM28.5 bilion?

“Adakah kerajaan berhasrat membayar ganti rugi kepada syarikat konsesi atas kehilangan untung yang mungkin dikumpulnya di masa depan, walaupun perjanjian konsesi jelas menyebutkan bahawa kerajaan tidak perlu berbuat demikian?” soal beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

Bagi Tony, adalah lebih baik syarikat konsesi tol dibiarkan terus mengutip tol selama dua puluh tahun lagi dari kerajaan menyerahkan keuntungan besar kepada mereka secara sekaligus.

Menurut beliau lagi, jika benar jumlah RM400 bilion itu dianggar berdasarkan kehilangan untung jangka panjang, bermakna rakyat terpaksa membayar tol selama 20 tahun untuk keuntungan lebih RM370 bilion kepada syarikat konsesi.

“Berdasarkan jawapan menteri, jelas bahawa kerajaan BN tidak medahulukan kepentingan rakyat biasa yang menderita disebabkan kadar inflasi paling tinggi dalam jangka satu dekad ini.

“Sebaliknya ia akan melakukan apa sahaja demi memastikan keuntungan dinikmati syarikat kroni BN untuk sebab-sebab yang hanya diketahui oleh mereka,” katanya lagi. – Roketkini.com