Berita

Kerajaan Negeri diseru sertai program Impian Malaysia Johor

JOHOR BAHRU, 12 APR: Masalah alam sekitar tidak sepatutnya menjadi isu golongan tertentu sahaja, sebaliknya memerlukan perhatian semua pihak kerana ia memberikan kesan jangka panjang kepada rakyat dan negara.

Menyedari hakikat itu, DAP tampil dengan inisiatif Impian Malaysia Johor bagi memperkasa dan mendidik masyarakat tentang masalah berkenaan.

“Alam sekitar adalah isu ekonomi dan melangkaui batas kaum. Ia memberikan kesan jangka panjang dalam aspek ekonomi, seperti jaminan bekalan makanan yang berterusan kepada rakyat,” kata Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Beliau berkata demikian selepas sesi perbincangan dengan 11 NGO berhubung masalah alam sekitar serta program Impian Malaysia di negeri itu.

1 April lalu, NGO Jaring dan Impian Malaysia menganjurkan program menanam pokok bakau di Pantai Pontian di sini.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan paya bakau kepada alam sekitar dan ekonomi, dan disertai sukarelawan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.

Kerajaan Johor sebelum ini memaklumkan, keluasan hutan paya bakau di negeri itu berkurang daripada 20,418.45 hektar pada 2003 kepada 18,372.60 hektar tahun lalu, iaitu pengurangan sebanyak 2,045.85 hektar dalam masa sepuluh tahun.

Dalam sidang media sama, Koordinator Impian Malaysia Mahdzir Ibrahim mengalu-alukan komitmen 11 NGO itu untuk menolak sebarang pembangunan pesisir pantai yang merosakkan alam sekitar dan menjejaskan sumber perikanan tempatan.

Menurut beliau, pertemuan itu berjaya menyatukan suara NGO yang terlibat berkaitan isu alam sekitar, termasuk berhubung kelemahan urus tadbir kerajaan negeri yang gagal membela nasib penduduk yang menerima kesan buruk langsung daripada projek pembangunan.

“Kami juga menyeru kerajaan dan orang ramai untuk turut sama menyertai program sebegini pada masa akan datang. Malah pihak kerajaan mempunyai kelebihan dari segi kemampuan dan sumber,” katanya lagi.

Sebelas NGO yang menyertai sesi itu adalah Jaring, Save Our Sea Horse (SOS), Suara Pengguna Prihatin, Gabungan NGO Pengerang, Persatuan Penjagaan Alam Sekitar Bumi Hijau Negeri Johor, Sahabat Alam Malaysia, Institut Kesedaran Rakyat, Sahabat RAMSAR, Suara Ujung Tanah (Sujut) dan Persahabatan Sempharuti.

Sukarelawan yang berminat menyertai program itu, diminta mengirim nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon ke [email protected] atau terus mendaftar di https://docs.google.com/forms/d/17wmh69YD5bOoAtnLaqjR5TnwpTkGbuLkfcCRXSEaJow/viewform – Roketkini.com