Berita

DAP gesa Peguam Negara gugurkan dakwaan terhadap Teresa

KUALA LUMPUR, 6 MEI: DAP mengecam keras dakwaan menghasut yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok Suh Sim dan mendesak Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menggugurkan pertuduhan itu.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendakwa Teresa di bawah Akta Hasutan 1948, ekoran klip video satira Onederful Malaysia yang beliau terbitkan sempena sambutan Tahun Baru Cina yang lalu.

Pengerusi Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo berkata, akta tersebut menerima kritikan masyarakat antarabangsa, malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah berikrar untuk memansuhkannya.

“Akta Hasutan sekali lagi digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara. Ia adalah undang-undang lapuk yang dikritik seluruh dunia sebagai tidak adil dan zalim.

“Perdana Menteri kita sendiri pernah berikrar untuk memansuhkannya, namun akhirnya gagal berbuat demikian,” katanya sambil menyifatkan Najib tidak memiliki iltizam politik untuk menunaikan janji itu.

Pada Julai 2012, Najib dalam satu majlis mengumumkan akan memansuhkan akta warisan penjajahan British itu dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Sosial.

Namun sehingga kini, ia terus digunakan termasuk ke atas bekas Pengerusi Kebangsaan DAP mendiang Karpal Singh, yang didenda RM4,000 selepas didapati bersalah di bawah akta itu.

Bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Ahli Parlimen DAP Puchong itu berkata, akta tersebut sebaliknya semakin kerap digunakan kebelakangan ini, terutama terhadap tokoh-tokoh Pakatan Rakyat.

“Tentunya ia bukan transformasi yang disebut-sebut Najib, mahu pun apa yang dikatakannya sebagai demokrasi terbaik di dunia,” tegasnya lagi.

Justeru itu, Gobind mendesak Peguam Negara agar menimbang semula secara serius dan menggugurkan Teresa daripada tuduhan tersebut.

“Bagi saya, tiada satu pun unsur menghasut dalam video itu. Hanya kerana banyak laporan polis, tidak bermakna ia bersifat menghasut,” katanya lagi.

Terjemahan dialog yang disertakan bersama kertas pertuduhan oleh Pendakwaraya menggariskan beberapa bahagian dalam Onederful Malaysia yang dianggap menghasut, antaranya dialog yang merujuk kepada perhimpunan BERSIH:

Teresa Kok: Nah, keselamatan sekarang bukan begitu baik, saya percaya bahawa penonton-penonton kita berminat nak tahu bagaimana untuk menjamin keselamatan diri?

Master Yen Yen: …Kamu janganlah pakai pakaian yang terlalu bersih, pasal warna pula, banyakkan pakaian warna merah, dan janganlah pakai baju kuning dan seluar kuning, sebab apa-apa yang berkaitan dengan warna kuning akan terlibat dengan dibawa ke mahkamah. Lebih serius lagi mungkin juga menyebabkan kecederaan.

Tanskrip penuh terjemahan boleh didapati di sini. – Roketkini.com