Rencana

Ketika Ikhwan Muslimin dibela oleh si bogel – Zahid Naser

Mungkin ada dari kalangan Islamis melihat dunia itu berwarna hitam dan putih. Saya juga dulu melihatnya seperti itu. Namun, bila hari ini saya melihat ada wanita-wanita di Perancis sehingga berbogel mempertahankan keadilan terhadap Ikhwan Muslimin. Paradoks dan ironi terpaksa juga menjengah pemikiran ‘Islamik’ saya. Dunia itu berwarna-warni rupanya.

Dalam era maklumat yang semakin berkembang, Islamis telah sedia berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat (atau tidak?). Masyarakat yang dijalini kepelbagaian dilihat dengan lebih mendalam dan teliti. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah demi memberikan penyelesaian terbaik kepada setiap permasalahan dalam masyarakat. Seseorang pendakwah dan muslih (pembaharu) tidak mampu memberikan penyelesaian, selalunya, kerana salah dalam membaca masyarakatnya. Masyarakat yang majmuk kini memerlukan bukan saja penyelesaian, tetapi juga memerlukan mereka yang bijaksana dalam segala hal – pentadbiran, idea, engagement, dan wacana kebebasan. Dan Islamis harus terkedepan dalam semua persoalan-persoalan ini.

Perancis, bogel dan Islam

Bogel di khalayak ramai itu, adalah sebuah keaiban dalam Islam. Islam tidak membenarkannya. Namun, ia tidak menjadi keaiban kepada sebahagian orang. Terutamanya bagi kalangan aktivis-aktivis Femen di Eropah. Aktivis-aktivis Femen sekarang ini juga sudah menular ke bahagian benua Afrika dan Timur Tengah.

Kejadian berbogel kerana menuntut hak yang mereka imani itu agak sukar untuk difahami oleh fikiran yang berjiwa waras. Namun, justifikasi untuk melakukannya tetap ada pada mereka itu.

Di Mesir, ada wanita bernama Aliaa Magda El-Mahdy. Beliau telah berbogel pasca-Revolusi 25 Januari bagi menuntut kebebasan dari negara sekular. Beliau dari keluarga yang mengamalkan Islam telah sanggup meninggalkan keluarganya dan bersama dengan teman lelaki mendapatkan perlindungan di Sweden. Aliaa membuat kecoh seantero Mesir apabila berbogel marahkan dan menentang Ikhwan Muslimin dari melaksanakan ‘negara Islam’.

Begitu juga di Tunisia. Amina Sboui melakukan hal yang sama di tengah bandaraya Tunis.

Apa yang menariknya. Amina Sboui yang akhirnya keluar dari Femen itu mengatakan, “Saya keluar dari Femen, kerana mereka adalah satu organisasi yang bersifat Islamofobik. Di samping mempunyai masalah ketelusan dalam organisasi tersebut.”

Tambah menarik, Amina tidak seperti Aliaa, dia sanggup berbogel bukan untuk memarahi dan menentang Ikhwan Muslimin, tetapi sebaliknya mempertahan Ikhwan Muslimin!

Amina Sboui, seorang aktivis, seorang pembogel, dan mantan ahli organisasi Femen (yang ‘liberal’), kini membuka mata saya kerana kebogelannya demi mempertahankan Ikhwan Muslimin.

Beliau dan rakan-rakan sekali lagi berbogel dan menulis di bahagian dadanya:

“Laa, li ‘idam el-Ikhwan!!”

“Laa, li hukm el-‘idam hatta li’a’daaina”

Katakan tidak kepada hukuman terhadap Ikhwan Muslimin!!

“Katakan tidak kepada hukuman mati, sekalipun terhadap musuh-musuh kami!”

Saya terpaku. Apakah ini sebuah sandiwara surealistik yang kita baca dari Kafka lewat ‘Metamorfosis’nya. Atau ia adalah real dan benar lagi sahih?!

Bagaimana seorang pembogel, liberal, sekular, dan seorang wanita, sanggup mempertahankan Ikhwan Muslimin yang terkenal sekarang ini sebagai fundamentalis, wahabi, sufi, ‘aqlaniy, beragenda jahat hendak menjahanamkan Al-Azhar, khawarij dan pengganas? Dia bukan sahaja mempertahankan, tetapi sanggup pula berbogel ketika berdiri di hadapan kedutaan Mesir di Perancis.

Melihat ini saja, kita terbawa ke sebuah paradoks masyarakat yang pelbagai dan rencam pemikirannya – penuh dengan warna-warni dan ‘unpredictable’!!

Melihat kronologi kejadian seperti ini. Akhirnya kita dapat simpulkan bahawa masyarakat dunia hari ini amat ‘kejap’ pemikiran demokrasi dan liberalnya. Mereka bersetuju dengan kebebasan dan kebenaran. Mereka anti kezaliman dan kuku besi. Mereka juga setuju tentang perlunya pentadbiran negara yang baik, tanpa unsur-unsur penyalahgunaan kuasa serta ketidaktelusan.

Dan semua nilai itu ada dalam Islam, selain undang-undang syariah yang sekarang ini hangat dalam media dan wacana politik negara.

Kebenaran dan keadilan

Ideologi mungkin tidak sama, baik ia ideologi politik atau ekonomi. Namun kebenaran dan keadilan adalah jelas – ia dapat dikongsi dan bersifat rentas mazhab.

Bagaimana mungkin ketika seseorang itu sudah dapat melihat dengan jelas kebenaran dan keadilan, dia mengelak untuk memperjuangkannya. Begitulah mungkin apa yang ada dalam fikiran Amina Sboui.

Beliau dengan kebogelan beliau tidak dapat menerima ketidakadilan terhadap para aktivis dan Islamis di Mesir. Beliau tidak dapat menerima hukuman bunuh secara pukal yang dibuat tanpa penelitian dan penuh dengan unsur-unsur penipuan dan agenda politik sekular yang jahat. Lantas orang sekular-liberal seperti Amina berbogel melawan kejahatan puak sekular yang jahat, pembunuh dan penzalim itu.

Aminadia mempunyai neracanya sendiri tentang hak asasi dan kebebasan berekspresi. Namun neracanya tentang penindasan, tentang ketidakadilan, tentang bejat kezaliman sama seperti manusia yang lain.

Di mana kedudukan Islam dan gerakan Islam?

Islam, sebagai agama, mempunyai doktrin asas dan prinsip. Namun, dalam hal-hal kehidupan, Islam tidak memberikan perincian tentangnya. Islam tidak menunjukkan cara memilih biji benih untuk ditanam. Apa yang Islam ajarkan ialah benih yang hendak ditanam harus dari sumber yang halal. Ditanam, dan dibaja, serta dijaga jangan sampai dahan-dahannya merosak dan meliar ke tanah orang lain. Begitulah.

Seiringan dengan kemajuan dan kemodenan, Islam harus tetap hidup dan dapat diamalkan, biarpun penganutnya hidup dalam sebuah negara bukan Islam (ada juga lebih suka menyebut kafir). Begitulah juga Islam yang harus hidup dalam sebuah negara Malaysia. Malaysia yang agama persekutuannya Islam dan liberal perlembagaannya harus hidup dalam ruang udara demokrasi yang menjadi tunjang negara ini.

Kalau dicermati tentang golongan sekular-liberal jahat dan golongan sekular-liberal baik ini, di manakah pula kedudukan Islamis yang mendokong demokrasi? Mungkin ada kalangan yang akan menidakkan perjuangan Amina Sboui ini. Ada juga yang mungkin mempertikaikan tujuan mengangkat “dia yang sudah hilang norma kemanusiaannya.” Dan mungkin ada juga yang akan menyokong tindakan ‘bogelnya’ itu.

Biar apapun persepsi terhadapnya, Amina telah menyatakan apa yang dia fikir benar dan betul.

Cabaran dan liku di Malaysia

Begitulah cabaran dan liku-liku para Islamis yang berada dalam sistem demokrasi liberal. Mereka berada dalam sebuah lautan bergelora besar; dalam perahu kecil menawan samudera. Mereka harus cermat dan mahir menghadapi arus serta ombak besar. Mereka perlu tetap utuh untuk hidup sehingga saatnya ombak dan gelora menjadi tenang.

Warna-warni kehidupan harus digaul dengan baik oleh para Islamis. Agama yang mereka bawa, akhlak dan etika yang mereka tonjolkan, akan memberikan pentakrifan terhadap Islam. Marah mereka, jerit mereka, semua itu berada dalam ruang penilaian orang yang cuba mentakrif Islam berdasarkan susuk Islamis.

Para Islamis memahami bahawa hanya Islam sahaja yang dapat memimpin manusia ke jalan Allah ta’ala. Mereka bekerja untuk itu. Syiar mereka adalah itu. Namun, selain memimpin. Mereka juga tidak dapat lari dari kerja-kerja islah – memperbaiki apa yang telah rosak dan telah runtuh.

Malaysia, negara yang kita cintai, mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Orang-orangnya sederhana, makanannya sudah berbaur dan nilai-nilai yang baik selalu dikongsi bersama dalam ruang perlembagaan persekutuan dan demokrasi ala Malaysia.

Dalam negara seperti Malaysia, apakah Islam dapat melalui liku-liku dan cabarannya yang tersendiri? Adakah Islam dan aktivisnya akan siap dan kukuh? Adakah Islam dapat menawan hati para liberal dan sekular? Adakah Islam dapat hidup membangunkan negara? Adakah Islam dapat dipersembah penuh bergaya? Dan adakah Islam akan menyubur dalam hati penganutnya?

Nah, begitulah persoalan yang wajib dijawab. Para aktivis Islam harus kuat dan mapan, melegari setiap permasalahan penuh hikmah dan bijaksana. Saya tinggalkan sebuah keratan Al-Quran untuk kita nilai apakah yang telah kita sembah dan hulurkan kepada negara Malaysia kita ini.

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-Nahl:125).

*Penulis adalah anggota Sekolah Pemikiran Imam Hasan Al-Banna dan lulusan Al-Azhar, Mesir.