Berita

Teresa mangsa terbaru usaha BN lemahkan Pakatan melalui mahkamah

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Kerajaan BN buat kesekian kalinya menggunakan mahkamah untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Terbaru, Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok Suh Sim didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 ekoran penerbitan klip video satira Onederful Malaysia.

Ketika ditemui wartawan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, beliau menyifatkan dirinya sebagai mangsa terbaru dakwaan bermotif politik kerajaan BN.

“Sangat jelas dakwaan ini bermotif politik. Ini menunjukkan kerajaan sedang menggiatkan usaha untuk melemahkan Pakatan melalui pendakwaan di mahkamah.

“Selepas (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan (bekas Pengerusi Kebangsaan DAP) mendiang Karpal Singh, serta beberapa pemimpin lain, kini giliran saya,” ujar Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu.

Pada tahun ini sahaja beberapa pemimpin utama Pakatan telah dijadikan sasaran, antaranya Anwar yang dihukum penjara lima tahun dalam kes fitnah liwat 2 dan Karpal yang didenda RM4,000 serta hampir hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas memberikan pandangan perundangan berhubung krisis kerajaaan Perak pada tahun 2009.

Selain itu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur Thomas Su, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 ekoran perhimpunan ‘Black 505’ pada 8 Mei lalu.

Teresa didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta yang sama. Sabit kesalahan, Teresa boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, serta mungkin hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Beliau yang hadir dengan mengenakan baju kurung merah pagi tadi diwakili peguam Sankara Nair, Gobind Singh Deo, Dato’ Param Cumarasamy dan Aaron Lee Chen Yee.

Katanya lagi, pendakwaan itu secara jelas satu penyalahgunaan Akta Hasutan serta membuktikan kerajaan tidak pernah serius dalam janjinya memansuhkan akta zalim itu.

“Cukup mengarut apabila kerajaan mendakwa saya hanya kerana satira politik itu. Ia bukan sahaja menunjukkan ketidakjujuran janji Perdana Menteri untuk menghapuskan akta itu, malah betapa gelapnya suasana politik di negara ini selepas Pilihanraya Umum lalu.

“Saya akan melawan dakwaan kejam ini sehingga tamat. Saya tidak membuat apa-apa kesalahan dan ia akan dibuktikan di mahkamah nanti,” katanya lagi. – Roketkini.com