Berita

Tsunami Politik total hanya boleh berlaku jika tembok perkauman runtuh

KUALA LUMPUR, 6 MEI: DAP menegaskan tsunami politik secara menyeluruh pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang hanya boleh berlaku jika Pakatan Rakyat berjaya keluar dari persepsi perkauman ciptaan UMNO-BN.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong berkata, untuk keluar dari sudut pandang perkauman yang digunakan Barisan Nasional (BN), alternatif untuk Pakatan kini adalah memberi tumpuan sepenuhnya dalam isu ekonomi dan pendemokrasian.

Menurutnya, lawan sebenar Pakatan bukan hanya BN, tapi sistem satu parti berasaskan perkauman yang dipegang parti itu hingga berjaya mendominasi dan menyebabkan mereka tidak pernah ditumbangkan.

“Asas utama sistem satu parti ini adalah perkauman. Kita mungkin tewas dalam politik identiti yang merupakan kekuatan mereka, kerana mereka dapat menggunakan segala saluran seperti Utusan Malaysia untuk memainkan isu kemelayuan, Islam dan institusi diraja.

“Sebab itu, penekanan kita untuk membawa perubahan dan politik baru adalah memberi tumpuan kepada keadilan ekonomi dan hak asasi untuk semua yang telah dipersetujui dalam PR – perkara ini harus dititik-beratkan,” katanya dalam pelancaran buku dan forum PRU 14: Apakah ada lagi Tsunami Politik? di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH), semalam.

Ahli Parlimen DAP Kluang itu juga mengharapkan DAP dan PAS tidak lagi menjadi jurucakap kepada kaum atau golongan tertentu tapi berlandaskan semua golongan.

“Jika DAP semakin kuat satu hari nanti, saya berharap parti ini tidak dianggap, atau menjadi, atau digelar sebagai MCA 2.0 atau MIC 2.0.

“DAP tidak boleh menjadi jurucakap kepada bukan Muslim sahaja, begitu juga PAS untuk Muslim semata tapi untuk semua,” ujarnya.

Chin Tong menyatakan, tindakan UMNO yang tidak henti-henti melagakan kedua parti itu turut tidak harus menyebabkan berlakunya perpecahan kerana DAP dan PAS sebenarnya berkongsi banyak persamaan.

“Persamaan kita adalah kebanyakan penyokong merupakan pekebun dan peniaga kecil. Di bandar, sebagai contoh, DAP mewakili peniaga kecil yang terpinggir atau tidak ada peluang untuk masuk ke dalam sistem ekonomi – mereka ini antaranya penjaga gerai, penjual mee goreng dan penjaga kedai kopi. Sama saja dengan PAS.

“Tapi masalahnya dalam pemikiran perkauman BN, dia ingat semua orang Cina buat bisnes. Jaga gerai pun dari kacamata mereka adalah bisnes. Pada mereka semuanya peniaga. Padahal kita semua sama, kerangka begini wajib dipecahkan,” tegasnya. – Roketkini.com