Berita

Pengharaman buku terjemahan: Rakyat dan bahasa Melayu ditindas

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Tindakan kerajaan menyekat pembangunan intelek rakyat dengan mengharamkan karya terjemahan beberapa buah buku dengan alasan ‘memudaratkan ketenteraman awam’ tidak boleh diterima.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar segera menghentikan penindasan intelektual ini dan menghapuskan segala sekatan terhadap penjualan serta pengedaran penerbitan buku.

Dalam sesi Parlimen lalu, Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP telah mengajukan persoalan mengenai mengapa terjemahan The Origin of Species diharamkan, sedangkan versi Bahasa Inggeris dibenarkan.

Jawapan bertulis Zahid Hamidi memberi alasan bahawa ia diharamkan kerana ‘memudaratkan ketenteraman awam’.

Menurut Zairil, salah satu terjemahan buku penting yang diharamkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 194 adalah Asal-usul Species, karya Charles Darwin, walaupun versi asalnya, The Origin of Species, dibenarkan dijual.

“Buku terkenal Charles Darwin ini bukan satu-satunya penerbitan yang mengalami nasib menyedihkan ini.

“Satu contoh lain adalah karya Karen Armstrong Islam: A Short History yang boleh didapati secara mudah di kedai-kedai buku dan perpustakaan, manakala terjemahannya dalam Bahasa Melayu dengan tajuk Sepintas Sejarah Islam dilarang,” ujarnya.

Zahid mendakwa terjemahan buku terbabit memberi gambaran mengenai asal-usul penciptaan makhluk yang bertentangan dengan ajaran Islam dan didapati bercanggah dengan Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Berunsur Islam serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Namun demikian, dakwa Zahid lagi, versi Bahasa Inggeris dibenarkan kerana KDN “tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung wujudnya percanggahan dari aspek agama Islam terhadap buku versi asal” mengikut garis panduan sama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Penjelasan Zahid ini bukan saja tidak masuk akal, malah merupakan satu penghinaan terhadap kebijaksanaan rakyat Malaysia. Bagaimana mungkin buku yang sama boleh dianggap sebagai memudaratkan ketenteraman awam dan menyalahi ajaran Islam dalam satu bahasa, tetapi diterima dalam bahasa lain?” soal Zairil.

Menurut beliau lagi, penjelasan Zahid itu menunjukkan seolah-olah pengetahuan hanya berhak diperolehi oleh golongan yang celik bahasa Inggeris dan bahawa golongan yang menggunakan bahasa Melayu tidak cukup matang untuk berfikir secara mandiri. – Roketkini.com