Berita

Hudud, agenda jahat UMNO pacu politik perkauman

IPOH, 6 MEI: Kesungguhan UMNO kononnya membantu PAS dalam isu hudud merupakan agenda jahat untuk membawa politik perkauman ke tahap lebih membimbangkan.

“Niat jahat UMNO memasang perangkap ini bukan sekadar untuk menghancurkan Pakatan Rakyat (PR), tetapi memacu politik politik perkauman ke tahap yang tidak boleh diperbetulkan lagi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Pasir Pinji Howard Lee Chuan How.

“Muslihat UMNO dalam perancangan mereka adalah meledakkan senjata utama iaitu semangat asabiyah dan politik perkauman yang jelas sekali tidak berasaskan Islam,” ujar beliau sambil memetik sebuah hadis.

“Telah bertanya seorang lelaki, wahai Rasulullah adakah asabiyyah itu mencintai kaumnya? Sabda Nabi, ‘Tidak, tetapi asabiyyah itu adalah seorang yang menolong kaumnya di atas kezaliman,’” ujar beliau.

Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) Perak itu turut mengecam keengganan MCA, sebagai rakan sekutu UMNO, untuk mengakui agenda perkauman yang dimainkan ini.

“Hakikatnya mereka sedar semua perancangan ini, tetapi terlalu pengecut dan ingin menjaga kepentingan peribadi.

“Lebih teruk lagi, mereka melacurkan diri kepada pelanggan tetap, iaitu UMNO, dengan telatah seperti ‘sejuta tandatangan anti-hudud’ dan berterusan menghina PAS sedangkan seluar sendiri terlondeh, mulut tersumbat, tidur sekatil bersama syaitan yang amat dikenali,” tegasnya.

Beliau juga mencadangkan supaya MCA berundur dari Barisan Nasional (BN) seandainya mereka sebagai kerajaan persekutuan meluluskan rang undang-undang hudud atau menjadi orang tengah dalam agenda tidak berperlembagaan ini.

“Inilah masa untuk MCA menuntut kembali maruah mereka yang sedikit itu dan mengembalikan kerelevanan kepada rakyat Malaysia. Masanya telah tiba untuk meleburkan rantai (yang dipasang oleh) tuan mereka, iaitu UMNO. – Roketkini.com