Rencana

Hudud : Prinsip Keadilan Sosial, Tujuan Kenegaraan dan Sistem Demokrasi Berparlimen – Ahmad Anwar Asyraf

Saya tidak merancang untuk menulis pandangan mengenai polemik hukum hudud sehinggalah semasa perhimpunan 1 Mei yang lepas, setelah berkongsi pendapat dengan beberapa teman berhubung perkara ini dan setelah disapa oleh warga Poland yang berkhidmat di kedutaan negaranya di Kuala Lumpur yang bertanyakan pandangan kami sebagai anak muda terhadap polemik hudud, selain tentang isu cukai GST.

Persekitaran Kondusif dan Prinsip Keadilan Sosial

Menurut Profesor Dr. MAZA, sebelum Rasulullah S.A.W menegaskan tentang hudud, baginda terlebih dahulu mewujudkan suasana keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda. Pemerintah dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. Tiada diskriminasi keturunan dan latar belakang. Jaminan hak rakyat yang diberikan sangat kukuh.

Jika undang-undang hudud dilaksanakan dalam keadaan yang dihukum hanya rakyat bawahan, sementara golongan atasan terus dibiar bebas; yang dihukum penzina, sedangkan perkahwinan diketatkan serta talak dan fasakh disusahkan; yang dihukum pencuri, sedangkan hak rakyat dihalang, rasuah terus dibiarkan, penyalahgunaan harta negara dilakukan di kalangan pemimpin atasan; yang dihukum adalah ‘pemberontak’, sedangkan kezaliman penguasa dibiarkan, maka sudah pastilah kita tidak akan mencapai matlamat hukum ini disyariatkan.

Pemain politik harus membicarakan akan pengertian ungkapan “semua warga adalah sama di sisi undang-undang.” Tiada pihak boleh bermaharajalela berselindung di sebalik pelbagai aturan yang menindas di mana jika mereka didakwa, yang menuduh pula dikenakan tindakan di bawah akta hasutan atau akta-akta lain yang menindas. Jangan hanya nanti rakyat biasa dipotong tangannya kerana mencuri di pasaraya tetapi pembesar yang mencuri hutan balak, tanah dan pelbagai khazanah negara dibiarkan bebas.

Dalam negara Islam, prinsip keadilan itu ditegakkan merentasi keturunan, bangsa dan pangkat. Tiada perbezaan di antara hukuman terhadap sultan, raja, perdana menteri, menteri besar dan rakyat biasa. Tiada istilah orang besar atau orang bawah. Kemakmuran negara perlu dibahagi secara adil di kalangan masyarakat. Tiada rasuah, tiada salahguna kuasa. Kepentingan setiap individu dalam negara sentiasa dipelihara, kemaslahatan mereka dijaga seeloknya. Kebajikan negara meliputi setiap lapisan warganegara, bukannya berkisar kepada sesuatu keturunan atau bangsa.

Sehingga kini, saya masih tidak nampak jaminan kata-kata “All are equal before the law and are entitled without any discrimination to equal protection of the law.” Ramai hanya memperkatakan mengenai jenis hukuman tetapi bukan mengenai kaedah hukuman.

Tujuan Kenegaraan

Dalam Islam, tujuan kenegaraan bukanlah bermain dalam kotak hudud semata-mata. Ia jauh lebih luas daripada itu. Pemerintah harus menegakkan keadilan sosial ataupun keadilan masyarakat dalam segala ruang kehidupan. Hudud hanyalah satu mekanisme bagi mengatasi jenayah.

Menjadikan kitaran politik negara ketika ini tertumpu kepada persoalan hudud semata-mata bukanlah satu pilihan yang baik. Tujuan politik ini harus lebih luas daripada sekadar membincangkan mengenai aspek hukuman memotong tangan pencuri. Sebelum kita membincangkan perkara ini, seharusnya kita memberikan tumpuan untuk membincangkan apakah peranan pemerintah, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, untuk memastikan tiada lagi alasan bagi sesiapa untuk mencuri disebabkan keadilan dan kebajikan negara.

Menjalankan aspek kenegaraan dan pemerintahan yang mengutamakan keadilan dan kebajikan seluruh rakyat itu sangat penting dan utama. Islam menganjurkan keamanan, kesederhanaan dan keadilan. Tiada mana-mana keturunan, bangsa, pangkat, warna kulit, kekayaan dan rupa diberikan nilai dan martabat yang tinggi oleh Allah S.W.T. Jadi, adalah penting bagi kita untuk memastikan prinsip kenegaraan, kebajikan dan keadilan kepada semua rakyat telah dijaga terlebih dahulu.

Urusan kerajaan lwn. usul bukan kerajaan

Saya tidak dapat untuk tidak bersetuju dengan pandangan seorang teman saya yang menyebut bahawa seharusnya menteri berkenaanlah yang sepatutnya membawakan usul berhubung perkara ini di Dewan Rakyat. Perkara 15 (1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat jelas menyatakan “Pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.” Contohnya semasa Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang membawakan usul untuk membahaskan perilaku hakim-hakim kita, Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengeluarkan hujah sewaktu memberikan keputusan menolak usul tersebut untuk dibahaskan adalah kerana Usul-Usul Kerajaan adalah merupakan perkara-perkara yang perlu didahulukan sebelum usul persendirian dibentangkan.

Daripada duluan atau “precedent” yang saya sebutkan tadi, kita tidak akan dapat melihat peluang untuk usul persendirian dibahaskan. Dan isu ini sebenarnya dijadikan satu senjata politik oleh UMNO/Barisan Nasional dalam memanjangkan hayat politik mereka yang semakin suram. Tujuannya mudah, iaitu untuk memerangkap PAS/Pakatan Rakyat dan mengalih perhatian warga daripada isu pokok berhubung pengenalan GST, kesenjangan pendapatan golongan kaya dan miskin dan lain-lain isu yang mendepani cabaran hidup rakyat ketika ini.

Jika kita lihat daripada sistem Westminster yang turut diamalkan negara kita, selalunya masa suntuk untuk membahaskan rang undang-undang persendirian, kecuali pihak Kerajaan bersedia memperuntukkan sedikit tambahan masa. Kebanyakan rang undang-undang persendirian akhirnya akan luput pada akhir setiap sesi Parlimen. Kerana itulah, saya melihat bahawa polemik hudud ini sebenarnya sedang dimain-mainkan oleh UMNO/Barisan Nasional sekadar untuk melihat perpecahan dalam Pakatan Rakyat dan menimbulkan bibit percanggahan antara Muslim dan bukan-Muslim.

Penutup

Seperti jawapan saya dan rakan-rakan kepada penganalisis politik daripada Poland yang kami temui tempohari, kami tidak menolak hukum hudud. Namun, memerhatikan suasana real-politik tanahair hari ini dan komposisi Ahli Parlimen, bukan mudah untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan bagi membuka jalan pelaksanaan Kanun Jenayah Islam ini.

Dalam masyarakat seperti kita, melaksanakan hudud tanpa penelitian bagaikan memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia bukan menambahkan kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu dan merosakkan pintu yang cantik dan berharga.

Saya teringatkan perbandingan ringkas yang pernah saya dengari: Menunaikan haji itu satu daripada Rukun Islam, tetapi ia juga diiringi dengan syarat berupaya dan berkemampuan. Begitulah juga hudud. Menangguhkan perlaksanaannya sehingga keadaan negara benar-benar kondusif, terlaksana kebajikan dan keadilan sosial, tidak menjadikan kita sebagai golongan yang menolak hukum Allah tetapi sebaliknya hanyalah untuk mengelakkan Islam ini terus mendapat fitnah sebagai sebuah agama yang menindas penganutnya.

*Ahmad Anwar Asyraf ialah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Bentayan. – Roketkini.com