Berita

Kem Pendidikan perlu jawab SBP operasi tanpa sijil siap

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan berikutan tiga sekolah berasrama penuh di Selangor, Pahang dan Johor yang beroperasi tanpa Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013 menyebut, kos tiga sekolah tersebut berjumlah antara RM38.48 hingga RM76.25 juta setiap satu dan didapati dibina dengan hasil kerja tidak berkualiti.

“Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memberi penjelasan mengapa kelewatan dan pengabaian terhadap projek sekolah ini boleh berlaku.

“Jabatan Pelajaran negeri dan pejabat pendidikan daerah juga tak boleh lepas tangan. Mesti ambil tanggungjawab,” kata Teresa kepada Roketkini.

Menurut LKAN, sekolah berkenaan antara 15 sekolah berasrama yang dibina di seluruh negara semenjak 2005 sebagai tambahan kepada 54 sekolah berasrama sedia ada ketika itu.

Tiga sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Sains Banting, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong dan Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, manakala keadaan bagi 13 buah sekolah berasrama penuh selebihnya tidak dinyatakan dalam laporan.

Projek-projek berkenaan juga didapati lewat siap diantara 90 hingga 909 hari menyebabkan sekolah berkenaan tidak dapat menempatkan pelajar mengikut perancangan.

“Kelewatan ini tidak adil kepada ramai pelajar terutamanya bagi mereka yang berasal dari luar bandar. Peluang seseorang pelajar untuk ditempatkan ke sekolah berasrama terganggu akibat kelewatan ini,” tambah Teresa.

LKAN menyebut, menurut rancangan KPM, sekolah-sekolah tersebut sepatutnya mempunyai kemudahan pentadbiran penuh seperti pejabat, guru, bilik mesyuarat, manakala bagi kemudahan akademik melibatkan bilik darjah, pusat sumber serta sains dan makmal komputer.

“Biarpun selepas kelewatan pembinaan, sama ada keadaan sekolah-sekolah berkenaan direkabentuk secara teruk, atau diurus secara lemah.

“Pemantauan dan penyeliaan oleh perunding dan KPM tidak berkesan kerana masih terdapat kecacatan dan kerosakan yang belum dibaiki oleh kontraktor,” laporan LKAN dipetik.