Berita

Pulau Pinang sedia ambil alih projek MRT jika Pusat tak bersedia

GEORGE TOWN, 18 JUN : Sekiranya kerajaan Persekutuan belum bersedia untuk menjalankan projek LRT atau MRT sepertimana yang dijanjikan, kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia untuk mengambilalih, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Dalam surat kerajaan Pulau Pinang kepada Kementerian Pengangkutan bertarikh 28 Mei 2014 yang disiarkan semalam, Lim berkata, kesesakan trafik kian meruncing di Pulau Mutiara ekoran pertambahan penduduk, kemasukan pekerja baru yang bertambah serta pertumbuhan bilangan pelancong yang pesat.

“Kerajaan Negeri tidak dapat menunggu lagi. Walaupun menghadapi kekangan kewangan, Kerajaan Negeri bersedia membina sistem pengangkutan awam dengan perbelanjaan dibiayai oleh Kerajaan Negeri sendiri” kata Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Puteh.

Sebagai alternatif, kerajaan Persekutuan diminta memberi kuasa penuh kepada kerajaan Pulau Pinang mengendali dan mengawalselia perjalanan sistem pengangkutan awam ‘tram’ yang dipilih sebagai paling sesuai.

“Oleh itu adalah perlu lesen pengangkutan awam ‘tram’ diluluskan pihak Kementerian Pengangkutan kepada Kerajaan Negeri agar kami dapat mencari pengusaha sistem ‘tram’ untuk memulakannya dengan segera,” ujar Lim.

Dalam kenyataan sebelum ini Lim berkata, kerajaan negeri lebih cenderung mengadakan sistem ‘tram’ tetapi bersedia menerima sistem pengangkutan yang dipilih dan dibiayai Kerajaan Pusat.

Justeru, kerajaan negeri pada 26 November 2013 telah menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan menuntut janji bekas Perdana Menteri Tun Abdullah dan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak, untuk membiayai dan membina sistem perkhidmatan LRT atau MRT.

Namun, sehingga kini tidak ada sebarang reaksi dari pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan.

Difahamkan, sistem pengangkutan awam alternatif untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di negeri ini dianggarkan akan menelan belanja sebanyak RM2.3 bilion.

Dalam pada itu Lim berkata, kerajaan Pulau Pinang bersedia bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan perolehan lesen pengangkutan awam. -Roketkini.com