Berita

Ulas kekalahan Brazil, Najib ramal masa depan buruk negara pimpinannya sendiri

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib seolah-olah meramalkan masa depan buruk negara di bawah pimpinannya apabila menyifatkan kekalahan besar Brazil di tangan Jerman ekoran ketiadaan kepimpinan dalam pasukan itu.

“Sangat tragik jika Najib membayangkan masa depan buruk kerajaan dan negara di bawah pimpinannya apabila menjadikan kekalahan mengejut 1-7 Brazil di tangan Jerman sebagai analogi,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurut laporan Berita Harian Online pagi tadi, Najib berkata sesebuah negara boleh menerima nasib yang sama seperti pasukan bola sepak Brazil jika tidak memiliki kepimpinan yang baik.

“Apa yang dapat saya simpulkan bahawa, kekurangan kepimpinan atau tiada kepimpinan yang baik menyebabkan kekalahan ini.

“Kalau itu yang berlaku kepada satu pasukan bola sepak, bayangkan kepada satu negara yang tiada kepimpinan berkesan, mampu menjiwai aspirasi pastinya menjadi seperti apa yang berlaku kepada pasukan Brazil,” kata Najib seperti dilaporkan.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai ironi, Najib terkenal dengan tabiat ‘menghilangkan diri’ apabila negara dilanda krisis dan isu panas, khususnya membabitkan keharmonian negara.

“Beliau sendiri meletakkan Malaysia dalam keadaan ‘auto-pilot’, tanpa kepimpinan daripada beliau sepanjang tahun ini,” kata Kit Siang.

“Di mana kepimpinan Najib dalam gerakan kesederhanaan…ketika sepanjang tahun lalu, hasutan kebencian kaum dan agama dilakukan tanpa henti, menyebabkan negara dilanda polarisasi kaum dan agama yang buruk?

“Di mana kepimpinan beliau dalam perang terhadap rasuah apabila Malaysia termasuk dalam kedudukan terendah Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International sepanjang menjadi Perdana Menteri?

“Lebih menakutkan, kedudukan kita dipintas negara yang lebih teruk sebelumnya seperti Sepanyol dan Korea Selatan,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut.

Beliau turut membangkitkan laporan Asianomics Country Report dikeluarkan firma kajian bebas Asianomics Ltd hari ini yang meramalkan kegagalan Program Transformasi Ekonomi fasa kedua ekoran kurangnya ilitizam dari kepimpinan Najib.

Najib sebelum ini terbukti lambat dan ada kalanya langsung tiada tiindakan atau reaksi apabila negara berdepan isu besar, antaranya hasutan perkauman tanpa henti Isma dan Perkasa serta insiden rampasan Bible bahasa Melayu milik Bible Society of Malaysia oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) awal tahun ini.

Tambah Kit Siang, mesyuarat Kabinet hari ini juga tidak menunjukkan sebarang tanda Najib bersedia kembali memimpin negara, malah lebih selesa membiarkannya kekal seperti sekarang.

“Saya katakan sebelum ini, rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa sedang menunggu sama ada kerajaan Najib benar-benar menjadikan kaedah ‘auto-pilot’ sebagai motto pentadbiran.

“Namun, beliau nampaknya tidak bersedia menunjukkan kepimpinannya (selaku Perdana Menteri) yang sangat jarang muncul sejak berakhirnya Pilihanraya Umum ke-13 lalu,” katanya lagi. – Roketkini.com