Berita

MH17: Kerajaan digesa siasat dakwaan Russia bekal senjata kepada pemisah

KUALA LUMPUR, 23 JUL: DAP menggesa kerajaan mencari jalan terbaik bagi mengesahkan spekulasi bahawa Russia telah membekalkan senjata berat kepada puak pemisah di Donetsk, Timur Ukraine, yang menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia MH17.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pengesahan itu perlu dibuat kerana beberapa laporan menyebut bahawa Russia telah menghantar tentera mereka membantu puak pemisah tersebut.

“Kita harus mengesahkan jika Russia turut bertanggungjawab membantu puak pemisah melancarkan roket yang menjatuhkan MH17.

“Kita tidak boleh takut-takut menggunakan apa sahaja pengaruh yang ada untuk memberi tekanan demi mendapatkan kebenaran,” katanya dalam perbahasan Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut mendesak kerajaan menangguhkan pembayaran pembelian 18 pesawat Sukhoi dari Russia jika benar mereka terlibat dan tidak mahu memberi kerjasama penuh dalam usaha mengesan penjenayah.

“Malaysia telah membeli 18 pesawat pejuang Sukhoi 30-MKM bernilai US$ 900 juta (RM3 bilion) pada bulan Ogos 2003. Pesawat ke-18 dan yang terakhir, baru sahaja dihantar pada bulan Ogos 2011.

“Jika Malaysia belum lagi menyelesaikan pembayaran untuk pesawat-pesawat ini, kita harus bersedia menangguhkannya, jika perlu,” ujarnya.

Tegasnya lagi, kerajaan juga mesti bersedia membatalkan projek Angkasawan Kedua yang menjadi sebahagian daripada pembelian jet Sukhoi.

 Program Angkasawan Negara bermula pada 2003 apabila kerajaan Russia bersetuju menghantar rakyat Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sebagai sebahagian daripada perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30-MKM buatan negara itu.

 Tambah Guan Eng, sekatan yang dicadangkan masyarakat antarabangsa terhadap Russia juga wajar dipertinbangkan kerajaan. -Roketkini.com