Berita

DAP lancar ‘ombak twitter’ pada PM, desak batal kenaikan tol CIQ Johor

JOHOR BAHRU 30 JUL: Satu kempen dilancarkan hari ini bagi membantah kenaikan tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru melalui mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Najib Razak di laman sosial twitter.

Kempen tersebut dilancarkan melalui inisiatif Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng, Cheo Yee How (Pengkalan Rinting) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya) akibat kenaikan kadar baru yang diumumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 25 Julai lalu.

Rakyat Malaysia digalakkan menyalin mesej dan membuat kiriman ke laman twitter masing-masing dengan ayat: “@NajibRazak Batalkan Segera Kenaikan Kadar Tol di CIQ, JB. #CIQTOLHIKE”.

“Kami menyeru agar Perdana Menteri boleh memberi arahan dengan cepat dan jelas agar membatalkan kenaikan cukai tol ini sebelum 1 Ogos 2014.

“Kami juga melancarkan Kempen Twitter kepada Perdana Menteri, di mana seruan dibuat agar rakyat menghantar mesej Twitter terus kepada beliau agar beliau mengambil tindakan untuk membatalkan cadangan kenaikan tol tersebut,” kenyataan tiga Adun Pakatan Rakyat Johor itu dipetik.

Dalam pada itu menurut kenyataan, bantahan melalui surat rasmi turut dihantar kepada Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya dan Datuk Ir. Ismail Md Salleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia.

“Kami menyeru agar perlakasanaan kadar tol baru di CIQ Johor Bahru dibatalkan. Kita tidak mahu melihat kenaikan kutipan tol ini dilaksanakan dalam keadaan yang terburu-buru dan diselubungi dengan bantahan rakyat.

“Masa sudah begitu suntuk. Kita hanya mempunyai dua hari lagi. Dengan ini, kami menyeru agar rakyat memberi maklum balas kepada Perdana Menteri kita melalui ‘Ombak Twitter’ yang dilancarkan agar kenaikan ini dapat dielakkan,” tegas kenyataan tersebut.

KKR sebelum ini mengumumkan kadar baru tol arah masuk ke Malaysia mulai 1 Ogos 2014 bagi kenderaan kelas 1 hingga 5 adalah RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80, manakala kadar tol arah ke Singapura pula pada kadar RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50.

Pakatan Rakyat Johor membantah keras kenaikan tersebut yang mencecah sehingga 400% berbanding kadar lama yang bakal memberi kesan negatif, menjejaskan kuasa beli rakyat Malaysia dan meningkatkan kos perniagaan selain kesan inflasi yang membantutkan ekonomi negara. – Roketkini.com