Berita

DAP bantah pembalakan haram di tapak projek Tawau Green Energy

KALABAKAN, 6 OGOS: Adun Sri Tanjong Chan Foong Hin membantah keras aktiviti pembalakan haram di tapak projek kilang geoterma Tawau Green Energy (TGE) yang menyebabkan banjir hingga menjejaskan kehidupan lebih 600 penduduk.

Berikutan pelbagai aduan, Chan sendiri turun ke tapak kilang dan mendapati antara punca berlakunya banjir adalah pembersihan tapak dengan melakukan pembalakan sehingga mencemarkan sungai yang menjadi sumber air bagi penduduk tempatan.

Chan dalam tinjauannya bersama seorang pemimpin Umno tempatan Andrassy Amissain Latip memaklumkan, kesan langsung akibat dari pembalakan haram adalah banjir kilat di kawasan sekitar lokasi kilang TGE terutamanya selepas hujan.

“Penduduk bergantung penuh kepada bekalan air dari sungai kerana bekalan dari Jabatan Bekalan Air (JBA) tidak konsisten.

“Amissain sendiri telah rasa tidak puas hatinya terhadap projek TGE dan menyelar tindakan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang menyalahguna kuasa dengan memberikan projek tersebut kepada anaknya sendiri,”┬ákata Chan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Sam Mannan sebelum ini mendakwa, pembalakan dilakukan untuk mengosongkan kawasan itu bagi pembinaan jalan raya.

Justeru beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah menegaskan, tiada keperluan untuk mengosongkan kawasan tersebut kerana jalan sepanjang 18 kilometer telah sedia ada untuk digunakan.

Anugerah projek kepada kroni yang tidak berkelayakan

Dalam pada itu, berdasarkan carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati, pemegang saham majoriti TGE adalah Ketua Pemuda Umno bahagian Sipitang Yamani Hafez iaitu anak Musa Aman.

Namun pemegang saham utama kini bertukar kepada Timbalan Ketua Pemuda Umno Sandakan Awang Kading Tang.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini, Chan mempersoalkan sama ada syarikat tersebut layak dianugerah projek tersebut kerana tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam industri tersebut.

Ketua Menteri Musa Aman dalam jawapannya menyatakan bahawa pengkhususan bidang dan kepakaran berhubung teknologi tersebut akan disumberluar (out source) kepada pihak lain.

Tambah Chan, tindakan menganugerah projek TGE kepada pihak tidak berkelayakan turut dibantah oleh Ahli Parlimen Kalabakan dari BN, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.

“Adakah ini bermakna bahawa sesiapa saja boleh membentuk sebuah syarikat untuk melobi bagi Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) dan kemudian disumberluar kepada orang lain?

“Saya tidak menentang pembangunan tenaga bersih, tetapi ketelusan dan akauntabiliti perlu dipatuhi,” tegasnya. – Roketkini.com