Rencana

Kematian dan kepedulian

-Zairil Khir Johari

Pada hari Kami bertanya kepada neraka Jahanam: “Apakah engkau sudah penuh?”
Ia menjawab: “Masih adakah tambahan?”

Diangkat daripada Surat Qaaf (50:30), dua baris ayat di atas cukup untuk mencerminkankeseraman dunia hari ini.

Kurang dua minggu lalu, tiga remaja Israel telah diculik dan dibunuh. Sebagai tindak balas, seorang pemuda Palestin telah dibakar hidup-hidup.

Kini, Semenanjung Gaza telah menjadi neraka di dunia. Kematian menggunung saban hari bersama-sama asap fosforus yang menyelubungi langit Gaza akibat serangan bertubi-tubi pencerobohan wilayah Palestin oleh tentera Israel.

Sehingga kini, lebih seribu rakyat Palestin terbunuh manakala ribuan cedera. Dengan bekalan makanan yang kian meruncing dan dikepung pula pada semua sisi oleh laut Mediterranean serta halangan konkrit yang mengular sepanjang sempadan Israel-Mesir, setiap insan Palestin terpaksa hidup dalam ketakutan dan trauma.

Dalam pergolakan Syria pula,satu gabungan kumpulan militan telah mengisytiharkan penaklukan mereka terhadap sebahagian wilayah Syria dan Iraq, dan mendakwa bermulanya era pemerintahan “Khalifah” baru.

Pemimpin militan yang bergelar “Khalifah” kini menguar-uarkandirinya sebagai ketua agama bagi seluruh umat Islam di dunia, meskipun kumpulan beliau bertindak kejam terhadap minoriti Muslim yang berlainan mazhab.

Manakala di sempadan Ukraine-Rusia, kapal terbang penumpang Malaysia telah ditembak jatuh dengan kejam oleh peluru berpandu anti-pesawat, lantasterkorban 298 nyawa insan yang tidak berdosa.

Tiba-tiba, perkara yang kebanyakan kita anggap sebagai perang saudara biasa kini berkemungkinan menjadi pemangkin kepada krisis geo-politik global kedua abad ke-21 ini selepas 11 September 2001. Ekoran daripada itu, White House sudah pun mengeluarkan kenyataan yang mengenalpasti Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai pihak yang “bertanggungjawab” dalam serangan yang tidak masuk akal pada MH17 itu.

Bagi kebanyakan kita, dunia kini seolah-olah dilanda huru-hara. Garis masa Facebook penuh dengan kematian dan kemusnahan – imej mangsa yang dicacatkan dan dibunuh, babak mengerikan kemalangan kapal terbang dan segala jenis teori konspirasi yang cuba mewajarkan apa yang berlaku.

Sebenarnya, satu-satunya perkara yang kita perlu terkejut adalah mengapa kita begitu terkejut. Ambil tiga krisis sebagaimana disebut di atas.

Ukraine bukannya menjadi zon perang dalam sekelip mata. Rusuhan telah berlaku sejak akhir tahun lalu, dituruti oleh revolusi yang menggulingkan presiden sebelumnya.

Berikutan itu, Rusia mula membantu sekutunya dari rejim digulingkan dengan penggunaan kuasa tentera di Semenanjung Crimea. Akibatnya, kemelut kini berlaku antara pemberontak yang disokong Rusia dan kerajaan yang diiktiraf Barat.

Namun, di sebalik fakta bahawa sebuah negara telah secara unilateral menyerangi wilayah lain yang berdaulat, apakah ada antara kita yang peduli?

Syria pula telah dibelenggu oleh perang saudara sejak 2011. Apa yang bermula sebagai demonstrasi popular menentang rejim autokratik Bashar al-Assad telah bertukar menjadi perang gerila bandar berlarutan yang telah mengorbankan beratus ribu nyawa, mengakibatkan berjuta-juta pelarian dan lebih teruk lagi, mencetus revolusi dan pemberontakan oleh pelbagai puak.

Jelas, Krisis Syria adalah jenis konflik yang menyuburkan penyemaian benih militan radikal. Dalam erti kata lain, kisah Afghanistan telah berulang, namun apa yang dunia lakukan? Lantaran itu, jika dahulu dunia dihantui Osama bin Laden, kini tempatnya digantikan oleh “Khalifah” Abu Bakar al-Baghdadi.

Sementara itu, kisah Palestin dilayan selama bertahun-tahun sebagai tidak lebih daripada satu segmen hal ehwal luar negeri yang kekal di dalam berita setiap malam.

Kita sudah pun lali dengan penjajahan berdekad lamanya terhadap Tanah Suci dan penaklukan ala Apartheid terhadap rakyatnya, sehingga kita tidak lagi peduli apabila mendengar pertempuran dan kehilangan jiwa manusia di Gaza atau Tebing Barat.

Hakikatnya, tiada siapa yang peduli – baik Nato, atau PBB, mahupun jiran-jiran Palestin, iaitu negara-negara Arab yang kaya-raya – terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Israel saban hari. Dek kerana itu, Israel boleh dengan sewenang-wenangnya terus melapah dan membunuh tanpa menghiraukan undang-undang dan konvensyen antarabangsa, hanya atas alasan “mempertahankan diri.”

Sebenarnya, kita semua bersalah kerana tidak peduli. Terlalu mudah untuk menukar saluran TV atau menyelak halaman lain dalam akhbar setiap kali nama-nama Ukraine, Syria atau Palestin timbul. Mereka seolah-olah terlalu jauh, dan penderitaan mereka bukan masalah kita.

Tetapi di situlah salah kita. Kerana sikap kita yang tidak peduli ini, pengganas bersenjata mampu berkuasa, kekejaman boleh ditaja oleh sebuah kerajaan tanpa segan silu, dan beribu-ribu insan terus dibunuh setiap hari.

Ingatlah Srebrenica. Lebih 8,000 rakyat Bosnia disembelih kerana dunia tidak peduli. Ingatlah Rwanda. Satu perlima daripada penduduk telah dihapuskan kerana PBB gagal bertindak. Ingatlah kebangkitan Nazi. Eropah telah hampir dilenyapkan kerana tiada siapa peduli akan Adolf Hitler hinggalah segala-galanya sudah terlambat.

Berapa kalikah sejarah perlu berulang sebelum kita tersedar? Berapa banyak lagi perang sanggup kita biarkan tanpa melakukan apa-apa? Berapa banyak lagi kematian sanggup kita hadapi sebelum kita akhirnya peduli? -Roketkini.com