Berita

Khalid Ibrahim khianati pengundi Selangor – Charles Santiago

KLANG, 14 OGOS: Keengganan Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan jawatan Menteri Besar (MB) adalah tindakan melampau sehingga sanggup membohongi rakyat dan Sultan Selangor, kata Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago.

“Isnin lalu, Khalid memaklumkan kepada Istana bahawa dia masih mendapat sokongan dari Dewan Undangan Negeri (Dun), justeru perlu terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar walaupun dipecat keahlian parti.

“Tapi pada esok harinya, dia memecat enam Exco dari DAP dan PKR dengan mendakwa kesemua mereka bekerja bertentangan dari kepentingan kerajaan negeri

“Jadi jelas bahawa Khalid telah memberikan gambaran yang salah kepada Sultan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Charles yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor turut menyelar dakwaan Khalid yang menyatakan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor tidak pernah wujud kerana kononnya tidak berdaftar.

“Adakah ini bermakna Khalid adalah MB Selangor yang tidak sah sejak enam tahun lalu? Apakah kedudukannya sekarang sah?.

“Imej dan reputasi Khalid kini telah musnah oleh keangkuhan serta pengkhianatan terhadap parti dan Pakatan Rakyat yang melantiknya sebagai Menteri Besar.

“Rakyat mengundi kerajaan Pakatan Rakyat pada pilihanraya lalu. PKR bersama-sama Pakatan Rakyat melantik Khalid untuk mentadbir Selangor. Jadi bila parti mahu dia melepaskan jawatan, dia perlu berhenti,” tegas Charles.

Dalam kenyataan sama, Charles turut mengingatkan pimpinan PAS agar segera membuat pendirian rasmi berhubung isu ini kerana hasil kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang membantu mereka memenangi lebih banyak kerusi dalam dua pilihanraya lalu. -Roketkini.com