Berita

Kilang geoterma Tawau Green Energy dilulus tanpa EIA?

KOTA KINABALU, 15 OGOS: DAP Sabah menggesa Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS) menjelaskan sama ada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Cadangan Langkah-Langkah Pengurangan (PMM) diluluskan terhadap projek kilang geoterma Tawau Green Energy (TGE) di Hutan Simpan Andrassy, Tawau.

ADUN Sri Tanjong Chan Foong Hin berkata, EIA dan PMM diperlukan sebagai kaedah kawalan bagi mengelakkan masalah alam sekitar yang berpunca dari pembangunan serta menyenarai langkah mitigasi sebelum projek diluluskan dan beroperasi.

“Kami menuntut agar lawatan dilakukan ke tapak projek kerana kita tidak pernah tahu apakah terdapat sebarang masalah seperti pembiayaan atau mungkin kekurangan kepakaran dalam pembinaan loji tersebut,”  kata ADUN Sri Tanjong Chan Foong Hin dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah berkata, ini kerana semenjak setahun lalu pihaknya telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.

Menurut Chan, beliau tidak membantah projek itu kerana merasakan ia perlu untuk membantu menyelesaikan masalah janakuasa di Timur Malaysia, namun perkara berhubung akauntabiliti dan ketelusan mesti dipatuhi.

Tambahnya sekiranya pihak berkuasa negara ini tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan, justeru wajar merujuk Indonesia dan Filipina yang berpengalaman dalam mengendali projek melibatkan pembinaan kilang geoterma.

Rabu lalu Chan bersama aktivis alam sekitar Wong Tack dan SM Muthu mengemukakan surat rasmi kepada JPAS, berikutan kenyataan Menteri Pelancongan, Budaya & Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun yang meminta pengadu merujuk secara langsung kepada pihak berkuasa berkaitan.

Beliau sebelum ini telah melakukan tinjauan ke tapak projek dan membantah keras aktiviti pembalakan haram di lokasi TGE yang menyebabkan banjir sehingga menjejaskan kehidupan lebih 600 penduduk sekitar.

Antara punca berlakunya banjir adalah aktiviti pembalakan dan pembersihan tapak sehingga mencemarkan sungai yang menjadi sumber air bagi penduduk tempatan.

Dalam pada itu, Wong Tack yang juga mantan Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (SEPA) menyarankan kerja-kerja di tapak projek dihentikan buat sementara sebelum EIA diluluskan dan dokumentasi penting lain tersedia.

“Secara jujurnya, kami tidak mempunyai keyakinan terhadap projek yang sedang dijalankan sekarang kerana apa yang kelihatan kini hanyalah aktiviti pembalakan, perintis termal pun masih belum dilakukan.

“Kemarahan penduduk berhampiran terutama di Kampung Tass juga harus di ambil kira,” tegasnya.

Beliau turut mendesak Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamli Nais supaya turun melihat situasi projek kerana ia berada di bawah tanggungjawabnya.

Tambahnya, Ahli Parlimen BN Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh sendiri telah meminta Taman-Taman Sabah dan Jabatan Perhutanan Negeri untuk memberi penjelasan, namun sehingga kini tidak ada sebarang jawapan diberikan. – Roketkini.com.