Berita

Gagal kerjasama dengan Johns Hopkins University, kerajaan diminta perjelas kerugian

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Kerajaan digesa menjelaskan kepada rakyat kerugian dialami berikutan kegagalan kerjasama bersama institusi pendidikan terkemuka John Hopkins University School of Medicine.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, penjelasan perlu diberikan kerana ia melibatkan kos tinggi dan kerjasama tersebut ditamatkan akibat kelewatan pembayaran.

“Kerjasama tersebut melibatkan kos US34.199 (RM107.91 juta) untuk 80 pelajar dan kerajaan perlu menerangkan apakah faedah kepada Malaysia apabila membelanjakan RM1.35 juta bagi setiap pelajar dalam program tersebut.

“Rakyat mahu mengetahui adakah 80 orang yang terpilih itu warga Malaysia dan apa kriteria pemilihan mereka, kerana ini bukan kali pertama kerjasama dengan universiti terkenal mengalami kegagalan.

“Pada tahun 1999, geran RM100 juta diluluskan untuk menubuhkan Malaysia Universiti of Science and Technology mengikut model Massachusettes Institute of Technology(MIT) AS. Namun MIT menarik diri pada 2004,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mendesak kerajaan menjelaskan jumlah pembiayaan dikeluarkan kerajaan sepanjang empat tahun kerjasama gagal dengan Johns Hopkins.

Beliau menegaskan, tamatnya hubungan bersama Pugsom menjejaskan usaha meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia ke arah kecemerlangan.

“Tamatnya ‘asmara’ perubatan selamat empat tahun dengan Johns Hopkins mengukuhkan budaya sederhana dalam pendidikan Malaysia dan hakikat bahawa tiada ruang untuk institusi cemerlang atau pelajar pintar di sini,” ujar Guan Eng.

Menurutnya, penamatan kerjasama itu menunjukkan bahawa transformasi kerajaan BN gagal akibat enggan untuk memberi tumpuan terhadap tiga faktor kejayaan yang penting, iaitu bakat, teknologi dan tolak-ansur.

“Kita mungkin memiliki bakat dan kesediaan untuk melabur dalam teknologi, tapi keengganan bertolak-ansur menjadi penghalang besar bagi Malaysia sehingga universiti-universiti kita jatuh ke tahap dan sumber tenaga kerja berbakat berhijrah beramai-ramai ke negara lain,” jelasnya.

John Hopkins menghentikan kerjasama dengan Perdana Graduate School of Medicine (Pugsom) sejak 31 Julai 2014 kerana lambat menerima bayaran yang telah tertunggak selama 12 bulan.

Pugsom ditubuhkan pada 2010 di bawah inisiatif Academic Medical Center Sdn Bhd (AMC) menawarkan kursus perubatan selama empat tahun dengan kerjasama Johns Hopkins.

Pada September 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerjasama di antara Johns Hopkins, pelabur Malaysia dan AS dengan sasaran institusi tersebut menjadi hub penyelidikan perubatan di rantau ini.

Penamatan kerjasama atas alasan kewangan oleh Johns Hopkins menimbulkan persoalan besar tentang komitmen kerajaan terhadap usaha mencapai kecemerlangan memandangkan institusi terbabit adalah kolej perubatan terulung di dunia. -Roketkini.com