KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Pengumuman biasiswa Program Ijazah Luar Negara (PILN) oleh Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pelajar bukan-bursari ternyata satu lagi dalil ‘Janji Tidak Ditepati’ Barisan Nasional apabila biasiswa tersebut tiba-tiba dibatalkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Pada sidang media pagi ini, Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengkritik dasar pemberian biasiswa JPA yang tidak konsisten.
Menurut kedua-dua ahli Parlimen itu, pada tahun 2012 Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa PILN akan turut dibuka kepada pelajar-pelajar yang gagal mendapat 9A+ dalam SPM, atau dikenali sebagai pelajar bukan-bursari.
“(Untuk melayakkan mereka memohon PILN) pelajar bukan-bursari hanya perlu mendapat CGPA 3.5 atau setara, mendapat tawaran tidak bersyarat untuk pengajian peringkat ijazah dalam bidang perubatan, pergigian, dan farmasi daripada universiti dalam kumpulan 10 terbaik dunia, atau mendapat tawaran tidak bersyarat untuk pengajian dalam jurusan lain.”
“Pengumuman ini memberi harapan kepada ramai pelajar bukan-bursari dari segi motivasi untuk bekerja keras dalam program pra-universiti masing-masing seperti STPM, A-Level, matrikulasi ataupun International Baccalaureate (IB) bagi memohon biasiswa PILN tersebut,” ujar mereka.
Sebelum pengumumam ini, pelajar yang gagal mendapat lebih 9A ke atas bagi keputusan SPM tidak mempunyai peluang mendapatkan biasiswa JPA ke luar negara.
Namun malang bagi para pelajar cemerlang, antaranya Jason Lee dan Michelle Lee yang turut hadir dalam sidang media berkenaan, apabila mereka gagal melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana biasiswa PILN dibatalkan atas alasan kekurangan dana.
“Mereka bukan menuntut hak supaya diberikan biasiswa. Mereka sekadar menuntut peluang untuk memohon. Itu pun tidak diberi,” ujar Dr Ong pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan.
Justeru itu, Dr Ong bertanya sama ada Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri berbohong apabila mengumumkan biasiswa JPA kepada pelajar bukan-bursari, kemudian membatalkannya tanpa sebarang pemakluman kepada orang ramai.
“Adakah Kementerian tahu bahawa RM 2.12 bilion yang diperuntukkan kepada JPA bagi tujuan biasiswa tempatan dan luar negara pada 2012 tidak mencukupi?
“Dengan menjanjikan sesuatu dan kemudian menariknya semula selepas dua tahun amat tidak boleh diterima. Ia adalah satu lagi contoh ‘Janji Tidak Ditepati’ oleh BN,” tambahnya.
Jason, pelajar yang gagal memohon biasiswa meskipun sudah mendapat tawaran di Universiti Melbourne berkata kepada Roketkini.com, biasiswa tersebut adalah satu-satunya harapan untuk mendanai pendidikannya.
Manakala Michelle yang cemerlang di semua peringkat peperiksaan awam, kini terpaksa berpuas hati dengan jurusan kejuruteraan awam di universiti tempatan.
Beliau yang mendapat tawaran dalam jurusan senibina di universiti luar negara, tidak ditawarkan kursus tersebut oleh sistem Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU).
Sementara itu pada sidang media yang sama Tony Pua berkata, JPA sepatutnya bersikap telus dan menyatakan secara terperinci senarai pelajar bursari yang menerima tawaran biasiswa. – Roketkini.com