Berita

Larang lelaki tonton bola jaring, Kelantan perlu luas pandangan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Kerajaan Negeri Kelantan disaran meluaskan sudut pandangnya dan mempertimbangkan semula larangan menonton sukan bola jaring di kalangan lelaki.

Larangan terhadap penonton lelaki daripada menyaksikan perlawanan bola jaring menimbulkan persoalan sama ada ia turut melibatkan acara sukan lain.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching dalam kenyataan medianya bertanyakan apa sebenarnya tujuan kerajaan Kelantan di sebalik dasar larangan tersebut?

“Adakah ia semata-mata untuk menghalang penonton lelaki (daripada menyaksikan sukan tersebut)?”

“Atau adakah tujuan Kerajaan Negeri Kelantan ialah untuk menghalang kaum wanita daripada diperhatikan?” soal Ahli Parlimen Kulai itu.

Menurut beliau, sekiranya atlet wanita yang terlibat dalam sukan tersebut mengenakan pakaian yang bersesuaian, kenapa mereka perlu malu untuk bersukan di khalayak yang bercampur.

Nie Ching turut menyebut nama beberapa atlet muslimah terkemuka dunia yang telah berjaya mencapai prestasi membanggakan.

Antaranya Aliya Mustafina , ahli gimnastik Russia; Aslı Çakır Alptekin atlet acara balapan Turki dan Fatmire “Lira” Bajramaj, satu-satunya pemain muslimah dalam pasukan bola sepak wanita Jerman.

“Arab Saudi, Qatar dan Brunei pun dahulu pernah menghalang atlet wanitanya daripada Sukan Olimpik atas alasan mereka akan beraksi di hadapan penonton yang bercampur gender.”

“Namun semua itu sudah berubah sejak 2012 apabila negara-negara ini melibatkan atlet wanita mereka buat pertama kali,” ujar Nie Ching.

Kerajaan Kelantan melarang lelaki menonton Kejohanan Bola Jaring Beliawanis Kelantan yang bakal berlangsung pada 6 September hingga 25 Oktober, melibatkan pasukan dari 14 kawasan parlimen di negeri itu.

Pihak penganjur dilapor menyatakan berhak memperkenalkan sebarang peraturan baru yang tidak menjejaskan peraturan permainan sedia ada.

Langkah tersebut dikatakan selari dengan dasar Membangun Bersama Islam kerajaan negeri yang menjamin keselesaan pemain wanita. – Roketkini.com