Berita

Kes Teoh Beng Hock: Keputusan mahkamah wajarkan AG arah tangkapan

KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Jabatan Peguam Negara (AG) digesa berhenti ‘menegakkan benang yang basah’ dan segera mengarahkan penangkapan pihak yang bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock.

Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo dalam kenyataannya berkata, keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu jelas memberi sebab-sebab yang mencukupi untuk AG mengarahkan tangkapan dan permohonan reman.

“Jumaat lalu Mahkamah Rayuan memberikan penghakiman yang tegas dan jelas bahawa kematian Beng Hock adalah diakibatkan oleh orang yang tidak bernama, termasuk pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam penahanan dan soal-siasat mendiang.

“Pastinya keputusan mahkamah, termasuk rujukan terhadap kecederaan sebelum mendiang jatuh, adalah cukup sebagai justifikasi penangkapan dan permohonan reman bagi melanjutkan siasatan mereka yang terlibat,” ujar Gobind.

Tragedi kematian Teoh Beng Hock masuk tahun kelima, namun tidak ada seorang pun yang dipertanggungjawabkan terhadap kematian mendiang.

“Peguam Negara sendiri tahu bahawa sebarang penangguhan dalam perbicaraan jenayah akan memberi kesan kepada kualiti bahan bukti yang akan dibawa ke mahkmah. Maka beliau tidak boleh berlengah lagi.” kata Ahli Parlimen Puchong itu.

“Mereka mesti memberitahu kita adakah sebarang tindakan atau tangkapan dibuat setakat ini. Jika tidak, kenapa?” soal Gobind.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Jumaat lalu memutuskan kematian Teoh Beng Hock bukan akibat terjatuh dari tingkap bangunan ibu pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam secara tidak sengaja.

Hakim memutuskan bahawa ia bukan suatu kemalangan atau bunuh diri, justeru menafikan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja pada Julai 2011.

Mendiang Teoh Beng Hock dijumpai mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam pada 16 Julai 2009 setelah semalaman ditahan di ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan tersebut untuk disoal siasat. – Roketkini.com