Berita

Pulau Pinang dan Phuket jadi ‘Bandar Sahabat’

GEORGE TOWN, 18 SEPT: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan mengetuai delegasi Majlis Perbandaran negeri (MPPP) ke Phuket untuk menandatangani Perjanjian Kerjasama (MOU) ‘Bandar Sahabat’ pada 17 hingga 19 September ini.

Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Cheong Yin Fan berkata, selain daripada menandatangani Perjanjian Kerjasama tersebut, Guan Eng juga akan menghadiri acara lain yang melibatkan kepentingan negeri.

“Ketua Menteri akan menghadiri Dialog Rangkaian Perniagaan antara Thailand dan Malaysia serta kunjungan hormat bersama Gabenor Phuket.

“Beliau bersama delegasi MPPP turut berpeluang untuk menyaksikan majlis tandatangan MOU Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang dan Dewan Perniagaan Phuket untuk menggalakkan kerjasama dua hala kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain Guan Eng, turut serta menyertai rombongan delegasi adalah Exco Kerajaan Tempatan & Pengurusan Trafik Chow Kon Yeow, Presiden MPPP Datuk Patahiyah Ismail, Pengurus Besar Penang Global Tourism Ooi Chok Yan dan lain-lain lagi.

Pada 2 Ogos lalu, Duta Thailand ke Malaysia Krit Kraichitti mengumumkan bahawa George Town dan Phuket akan menandatangani MOU bagi penubuhan status Bandar Sahabat.

Kraichitti menyatakan, pemeteraian MOU terbabit akan memperbaharui hubungan sejarah antara kedua-dua bandar.

“Dengan kerjasama ini, kita juga boleh membangunkan lagi sektor perdagangan dan pelancongan antara sesama,” ujarnya pada sidang media ketika itu di Komtar.

Setakat ini, antara bandar yang telah menjadi bandar berkembar dengan George Town adalah Medan (Indonesia), Adelaide (Australia), Taipei (Taiwan), Xiamen (China) dan Kanagawa (Jepun). -Roketkini.com