Berita

DAP gesa kerajaan buka laluan pejalan kaki di Tambak Johor

KULAI, 19 SEPT: DAP Johor menggesa kerajaan supaya membuka laluan pejalan kaki di Tambak Johor untuk kemudahan orang ramai dari kedua-dua negara.

Adun DAP Senai Wong Shu Qi berkata, cadangan ini harus diambil kira kerana Kerajaan Singapura telah membuka laluan pejalan kaki di Woodlands.

“Laluan pejalan kaki adalah sangat penting, terutama pada waktu puncak, kerana kemudahan awam setiap jam seperti bas tidak dapat menampung aliran trafik manusia yang terlalu ramai.

“Jadi, kami mencadangkan kerajaan supaya memasang ‘walkalator’ di Tambak Johor bersama dengan rakan-rakan Singapura,” katanya.

Shu Qi yang juga Pengarah Dasar DAP Johor menyatakan, pemimpin BN sebelum ini menyalahkan Kerajaan Singapura kerana menyekat laluan pejalan kaki kerana isu keselamatan negara, tapi kini terbukti sebaliknya.

“Singapura sudah pun membuka laluan pejalan kaki tambak di Woodlands. Mengapa kita juga tidak laksanakan perkara sama?

“Saya berharap, Tambak Johor sepanjang 1.7 kilometer antara Malaysia dan Singapura tidak dijadikan ‘Great Wall’ yang akhirnya akan memusnahkan pembangunan ekonomi Johor Bahru,” tegasnya.

Pada 15 September lalu, Shu Qi memohon Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) agar menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma kepada penumpang antara CIQ Johor Bahru dengan pusat pemeriksaan Woodlands di Singapura.

“Pemegang konsesi tol itu perlu menyumbang sekurang-kurangnya RM1 juta sebulan untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dengan menggalakkan pengguna kereta bertukar pilihan kepada pengangkutan awam, ” katanya.

MRCB melalui anak syarikatnya MRCB Southern Link Bhd memegang konsesi tol Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) selama 34 tahun selepas pembinaannya selesai pada 2012.

Kerajaan pada 2012 mengambilalih EDL dengan membayar pampasan kepada MRCB sebanyak RM68 juta bagi tempoh April-Disember 2012 dan bayaran RM11 juta sebulan selama tempoh perjanjian konsesi penswastaan. – Roketkini.com