Berita

Jangan menipu, Rahman Dahlan perlu tunai janji dedah tender insinerator

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak boleh lagi melengahkan masa untuk mendedahkan kandungan dokumen tender projek insinerator Taman Beringin, Kepong.

Ia berikutan laporan bahawa sebanyak empat syarikat yang disenarai pendek untuk membina insinerator, iaitu UEM Environment Sdn Bhd; DRB-Hicom Bhd, Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB) dan Puncak Niaga Holdings Bhd.

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata, Abdul Rahman perlu menunaikan janji yang dibuatnya di Parlimen 26 November tahun lalu.

“Dengan empat syarikat sudah disenarai pendek, Menteri (Abdul Rahman) perlu segera menunaikan janjinya di Parlimen untuk mendedahkan dokumen tender.

Kegagalan berbuat demikian bermakna beliau adalah seorang pembohong yang mungkir janjinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dengan pendedahan tersebut, orang awam terutama pembayar cukai di Kuala Lumpur dapat menilai kesan kewangan dan alam sekitar projek itu.

Menurut laporan laman The Edge Property itu juga, Abdul Rahman memaklumkan penganugerahan projek akan diumumkan pada Jun tahun hadapan.

Sehingga kini, kandungan tender itu masih menjadi rahsia kepada umum, walaupun Kian Ming pernah membuat desakan sama kepada Abdul Rahman 15 Julai lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata lagi, antara maklumat penting dalam dokumen itu yang perlu didedahkan adalah:

  • kos melupuskan ‘abu terbang’ (fly ash) dan ‘abu bahagian bawah’ (bottom ash) yang terhasil akibat proses pembakaran.

  • Kandungan sisa pepejal bandaran yang akan dihantar ke insinerator, sama ada sisa diasingkan terlebih dahulu atau tidak.

  • Sama ada wujud jaminan 1000 tan sisa sehari, serta jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi jika gagal mencapai sasaran tersebut.

“Pendedahan ini sangat penting, agar kita tidak lagi melihat pengulangan perjanjian konsesi berat sebelah seperti dalam perjanjian penjana tenaga bebas (IPP) dan sesetengah kontrak tol yang menjadikan rakyat sebagai mangsa demi memberikan keuntungan luar biasa kepada syarikat,” katanya lagi. – Roketkini.com