Berita

Sumpah Zahid ‘siasat dalam 24 jam’ terpakai kepada Mahathir?

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Jika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran ucapannya tiga tahun lalu, polis juga perlu menyiasat bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ekoran fitnahnya ketika kempen Pilihanraya Umum (PRU) lalu, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menyifatkannya sebagai satu dendam politik (political vendetta), Kit Siang berkata, tiada sebab untuk polis menyiasat Anwar tiga tahun selepas ucapan itu dikeluarkan.

“Jika kenyataan itu tidak mewajarkan polis untuk menyiasat beliau di bawah Akta Hasutan dalam tempoh tiga tahun ini, apa merit dan keabsahan untuk menyiasatnya sekarang ini?

“Melainkan ini adalah satu dendam politik dan salah guna kuasa yang melampau,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan.

Sentimen itu turut dikongsi Timbalan Pengarah Amnesty International Asia Pasifik Rupert Abbott, yang menyifatkan siastan tersebut bermotif politik dan mendesak agar ia digugurkan.

Semalam, polis mengumumkan membuka semula siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap ucapan Anwar dalam satu program ceramah ‘Kempen DNA (Datuk Najib Altantuya)” pada 25 Mac 2011.

Kata Kit Siang jika Anwar boleh disiasat, Mahathir juga perlu dikenakan tindakan sama ekoran fitnah terhadapnya pada kempen PRU lalu.

Pada April 2013, Mahathir mendakwa Kit Siang mengambil keputusan untuk bertanding di Gelang Patah untuk menghasut orang Cina agar membenci masyarakat Melayu, dan mewujudkan konflik dan perseteruan antara kaum.

“Maka hari ini saya ingin bertanya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, adakahsumpahnya bahawa polis akan menyiasat individu yang dilaporkan menghasut dalam masa 24 jam, turut terpakai kepada Mahathir?

“Saya tidak mencadangkan agar beliau patut dihukum penjara kerana menghasut. Namun Zahid perlu memberi penjelasan mengapa Mahathir kebal daripada siasatan polis, pada masa sama Anwar ditindas atas kenyataannya yang langsung tidak berbahaya tiga tahun lalu,” katanya lagi. – Roketkini.com