Berita

Keputusan PRK membimbangkan, Pakatan perlu kembali dasar bersama

KUALA LUMPUR, 29 SEPT – Pakatan Rakyat perlu kembali memperteguh konsensus dan dasar bersama demi mengembalikan keyakinan rakyat jika mahu terus mendepani pilihanraya umum sebagai sebuah perserikatan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya menggesa supaya semua pihak kembali kepada dasar bersama, memandangkan trend pengundian pasca pilihanraya kecil Teluk Intan dan Pengkalan Kubor nampaknya agak merisaukan.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi sekiranya trend tersebut diunjurkan ke seluruh kerusi DUN di Kelantan, negeri tersebut bakal diambil alih oleh Umno, manakala BN akan memperolehi tambahan kerusi di Perak.

“Di peringkat Parlimen, BN boleh memenangi lapan kerusi berbanding lima sekarang ini. Kerusi marginal Pakatan Rakyat seperti Kuala Krai, Pasir Puteh dan Bachok akan tumbang kepada BN,” ujarnya.

Di Perak pula BN boleh mendapat tambahan sehingga 36 kerusi DUN dan sehingga 16 kerusi Parlimen, sekiranya trend tersebut kekal.

“Pakatan Rakyat akan kehilangan kerusi Bukit Gantang, Sungai Siput, Beruas dan Kampar. Manakala di DUN, Pakatan Rakyat boleh kehilangan kerusi Kuala Sepetang, Changkat Jering, Sungai Rapat, Teja dan Hutan Melintang,” tambahnya,

Bagi pemimpin veteran DAP itu, penegasan semula dasar bersama dan prinsip konsensus sesama pimpinan parti komponen adalah syarat utama untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat.

“Namun prinsip konsensus ini telah tergugat apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan untuk menuruti konsensus yang telah dicapai oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 Julai dan 17 Ogos,” katanya, merujuk kepada kemelut Menteri Besar Selangor baru-baru ini yang berakhir minggu lalu.

Kit Siang cadang tubuh jawatankuasa kerja PR

Dalam kemelut tersebut, Abdul Hadi enggan bersetuju dengan pencalonan Presiden PKR Dr Wan Azizah sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, meskipun keputusan telah dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan PAS Pusat.

Kit Siang bimbang bagaimana Pakatan Rakyat dan Majlis Pimpinannya mahu berperanan sekiranya konsensus bukan lagi prinsip yang memandu operasi Pakatan.

“Pakatan Rakyat mesti mengkaji bagaimana kerjasama boleh diteruskan. Saya cadangkan penubuhan jawatankuasa kerja yang terdiri daripada tiga atau empat wakil daripada parti komponen Pakatan Rakyat untuk mengkaji dan membuat cadangan,” ujarnya. – Roketkini.com