Berita

Anwar kekal Penasihat Ekonomi Selangor, kerajaan negeri semak kenaikan elaun

SHAH ALAM, 1 OKTOBER: Menteri Besar Selangor Mohamed A‎zmin Ali mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Azmin berkata hanya Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Plaza Perangsang sahaja yang ditutup.

“Apa yang diputuskan Khalid adalah untuk menutup pejabat penasihat ekonomi,” kata Azmin ketika ditanya pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu kata Azmin, kerajaan Selangor akan mengusulkan mengkaji semula kenaikan elaun yang diluluskan ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada November 2013.

Menurutnya usul itu akan dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula November nanti.

“Kami memutuskan untuk mengkaji semula kadar elaun dan gaji bagi 4 jawatan, iaitu Menteri Besar, Exco, Speaker dan timbalan Speaker.

“Ia akan dibentang pada sidang DUN akan datang, agar bersesuaian dengan tanggungjawab dan khidmat,” katanya.

Tindakan pentadbiran sebelum ini yang menaikkan elaun sehingga 300 peratua mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk dari dalam Pakatan.

Malah pada ketika itu, Ahli Parlimen Pakatan sendiri membantah usul BN di Dewan Rakyat untuk menaikkan elaun Ahli Parlimen.

Azmin yang pada awalnya enggan mengulas lanjut isu ini kemudian berkata “Ya, potong (elaun)” ketika ditanya wartawan.

Taklimat dengan KDEB tentang isu air

Azmin turut memaklumkan, kerajaan negeri akan mendapatkan taklimat daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berhubung penstrukturan semula industri air negeri.

“Buat masa ini, keutamaan kita adalah penstrukturan air. Kita perlu tengok perjanjian terlebih dahulu.

Selain itu, mesyuarat tadi juga memutuskan untuk mengkaji semula semua perjanjian lebuhraya sebelum ini termasuk Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), dan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

DAP Selangor sebelum ini membantah keras tindakan Khalid memeterai beberapa perjanjian lebuhraya bertol, yang bertentangan dengan manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat. – Roketkini.com