Berita

DAPSY Perak lapor polis ucapan fitnah Presiden ISMA

IPOH, 29 OKT: DAPSY Perak membuat laporan polis terhadap fitnah Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman kononnya DAP antara pihak yang menyebarkan hujah ‘Melayu juga pendatang’ semenjak 2008.

Setiausaha DAPSY Perak Howard Lee Chuan How berkata, laporan dibuat di IPD Ipoh semalam, berdasarkan ucapan Abdullah di sebuah wacana anjuran Majlis Ulama ISMA di Bangi minggu lalu seperti tersiar di laman web kinitv.com berjudul ‘DAP semai kepercayaan Melayu itu pendatang’.

“Ini merupakan tuduhan yang tidak berasas. Tuduhan tersebut adalah fitnah dan mengungkit sentimen agama demi mendapat sokongan sesetengah pihak dan memburukkan nama baik DAP yang kebelakangan ini semakin mendapat sokongan masyarakat Muslim

“Kami sebagai sebuah parti yang tidak berdasarkan kaum atau agama, tidak pernah sama sekali membuat sebarang kenyataan, sama ada secara bertulis atau lisan oleh mana mana wakil rakyat atau pimpinan kami, mendakwa mana-mana warganegara Malaysia sebagai pendatang,” kata Howard dalam satu kenyataan.

Dalam wacana tersebut Abdullah menyatakan bahawa hasrat politik Islam adalah ‘Islam lawan Kafir’, bercanggah dengan nama Islam dibawa NGO tersebut yang sewajarnya berpegang teguh kepada ajaran dan akhlak Islam.

“Fitnah adalah antara dosa terbesar dalam Islam, manakala kenyataan Abdullah Zaik yang begitu asobiyah dalam video berkenaan bukan sahaja amat bertentangan dengan perlembagaan persekutuan, tetapi juga pastinya bertentangan dengan Islam sendiri,” tegas Howard.

Howard turut mengimbas semula peristiwa dalam tradisi Islam ketika Muslimin Mekah ditindas, Nabi Muhammad SAW menggesa mencari perlindungan Raja Najasyi, raja di Habsyah yang beragama Kristian.

“Kumpulan pelarian Muslim berhijrah ke Habasyah dan mereka mendapat bukan sahaja sambutan, tetapi juga ketenangan dan keamanan serta bebas menikmati cara kehidupan Islam tanpa gangguan.

“Walaupun bukan seorang Muslim, sebagai seorang yang menghormati ajaran Islam dan berminat dalam ajaran semua agama, saya sedar adanya suatu ayat Al Quran yang mengarahkan semua manusia saling kenal-mengenali dan bukannya seperti hujah sesat ISMA menggalakkan lawan-berlawanan, iaitu ayat ke-13 dalam Surah Al-Hujuraat,” kata Howard

Ayat ke-13 Surah Al-Hujuraat bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal,” makna ayat tersebut dipetik.