Berita

Logik klasik Dr Mahathir, matlamat menghalalkan cara

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menggunakan logik klasik ‘matlamat menghalalkan cara’ bagi mengabsahkan kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang menyeru orang Islam membakar salinan Bible berbahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berpesan agar rakyat Malaysia tidak perlu terkejut dengan kenyataan sedemikian, kerana Dr Mahathir sanggup berbohong demi mempertahankan kenyataan menghasut tersebut.

“Ini bukan kata-kata orang yang lemah ingatan akibat usianya yang lanjut, tetapi tindakannya bermatlamat menghalalkan cara, demi mempertahankan ugutan Ibrahim Ali,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Semalam dalam satu kenyataan kepada pemberita di Women Extraordinaire Forum (WEF) 2014 Dr Mahathir berkata, membakar kitab suci adalah dibenarkan dalam Islam selagi ia dilakukan tanpa niat buruk, seperti yang dilakukan terhadap Al-Quran yang telah lama.

Kata Kit Siang, Dr Mahathir seolah-olah sengaja tidak mahu melihat perbezaan besar antara kenyataan menyokong pembakaran kitab al-Quran kerana tidak boleh digunakan lagi, berbanding seruan untuk membakar kitab suci agama lain, sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.

Justeru itu, Kit Siang mengingatkan agar rakyat Malaysia tidak perlu hairan atau terkejut dengan pandangan tersebut, dengan hanya melihat kepada kerosakan dilakukan oleh Perdana Menteri yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun itu.

Antaranya kemusnahan sistem perundangan melalui peristiwa penangkapan secara besar-besaran melalui Operasi Lalang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1987, kemerosotan mutu pendidikan, rasuah, kronisme dan salah guna kuasa oleh pemimpin politik tertinggi.

Malah Dr Mahathir sanggup memfitnahnya dalam kempen pilihanraya umum ke-13 yang lalu dengan tuduhan tidak masuk akal dan palsu, kononnya Kit Siang bertanding di Gelang Patah untuk menimbulkan perbalahan antara orang Melayu dan Cina di Johor.

“Apakah Dr Mahathir mahukan Malaysia menjadi kacau-bilau dengan berkata bahawa orang Islam bebas membakar Bible berbahasa Melayu atau kitab suci agama lain, manakala orang bukan Islam menyeru untuk membakar al-Quran?” soal Kit Siang.

Menurut beliau kenyataan terbaru Mahathir itu sangat tidak wajar kerana sebagai seorang Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Malaysia, beliau sepatutnya bersikap sebagai negarawan untuk membawa kepada jalan keamanan, perpaduan dan keharmonian.

Tanbab beliau lagi, amat tidak wajar untuk Mahathir membela atau bersubahat dengan tindakan tidak bertanggungjawab dan melampau pengugut seperti Ibrahim Ali untuk membakar kitab Bible.

“(Namun) dalam logik klasik Mahathir yang percaya kepada ‘matlamat menghalalkan cara’, dia mampu berbohong dan mempertahankan hasutan,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com.