Berita

Islam politik tidak ada masa depan – Dr Maszlee

PETALING JAYA, 4 NOV: Parti politik berasaskan Islam tidak mempunyai masa depan sekiranya mereka terus mengasingkan diri dalam gelembung serta tidak mengambil bahagian dalam masyarakat.

Demikian kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Maszlee Malik ketika mengulas ucaptama menteri luar Thailand Surin Pitsuwan di forum Muslim Demokrat Dunia di sini semalam.

“Masa depan tidak bersama Islam politik, tidak bersama para Islamis, masa depan juga tidak bersama parti politik berasaskan Islam di negara-negara umat Islam. Itu hakikatnya,” kata Maszlee, disambut rasa terkejut sebahagian hadirin termasuk Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menganggotai panel tersebut.

“Masa depan adalah bersama masyarakat terbuka (open society). Islam politik mahupun Muslim demokrat tidak boleh hidup secara eksklusif,” tambah beliau.

Baginya, demokrasi bukan sekadar tunggangan, malah harus dihayati sepenuhnya.

Katanya lagi, mentaliti dakwah dan fungsi sebagai sebuah parti politik tidak boleh bergerak seiring, sambil merujuk kepada keputusan pilihanraya Tunisia yang menyaksikan kekalahan parti politik Islamis Ennahda yang tewas kepada parti sekular Nida Tunis dalam pilihanraya minggu lalu.

Ennahda merupakan gerakan Islam terawal yang berjaya berkuasa berikutan revolusi Arab Spring tiga tahun lalu.

“Anda mahu jadi sebuah parti politik tetapi anda juga mahu mengekalkan mentaliti dakwah Islam, ia tidak boleh berfungsi begitu,” katanya.

Forum Muslim Demokrat Dunia anjuran Institut Kajian Dasar dengan kerjasama Sasakawa Peach Foundation, Habibie Centre Indonesia dan badan pemikir Turki SETA diteruskan hari ini untuk membincangkan hala tuju demokrat Muslim di seluruh dunia, terutamanya di rantau Asia Tenggara. – Roketkini.com