Berita

JAS disaran baiki mutu khidmat atau terus dipandang sebagai ‘rubber stamp’

JOHOR BAHRU, 5 NOV: DAP Johor berharap Jabatan Alam Sekitar (JAS) berfungsi dan menjalankan tugasnya dengan lebih cekap, dan bukan lagi sekadar dipandang ibarat ‘rubber stamp’.

Ini kerana, JAS dilihat terlalu mudah meluluskan laporan Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) tanpa mengambil kira piawaian dan kelayakan mereka, terutamanya berkaitan perkara membabitkan pembangunan lestari.

“Fungsi serta objektif DEIA atau EIA adalah untuk memastikan projek pembangunan serta industri menepati piawaian yang ditetapkan, bukan sebagai agensi yang melulus dan membatalkan projek,” kata Adun Pengkalan Rinting Cheo Yee How dan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Mahdzir Ibrahim.

Kedua mereka berkata demikian dalam satu kenyataan bersama, selepas lawatan ke JAS Johor hari ini untuk bertemu, mengenal dan memahami lebih jelas peranan serta fungsi jabatan tersebut.

Kunjungan DAP selama sejam itu disambut mesra oleh Timbalan Pengarah JAS Negeri dan beberapa pegawai jabatan.

Selain Yee How dan Mahdzir, turut hadir ialah Ketua Pembangkang DUN Johor Dr Boo Cheng Hau, Adun Penggaram Gan Peck Cheng, Adun Yong Peng Chew Peck Shu dan pimpinan lain.

Dalam perbincangan tersebut, DAP turut menyuarakan persoalan mengenai operasi JAS terutamanya dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang serta penyelarasan peranan JAS bersama agensi penguakuasaan lain.

“Kami yakin JAS telah berfungsi secara efisyen dan baik, malah beberapa kelemahan dalam agensi juga dikongsi.

“Menurut mereka, usaha tersebut ke arah pembaikkan agensi telah dan sedang dijalankan untuk kesenangan di masa akan datang,” ujarnya. -Roketkini.com