Berita

GST bakal akibatkan ‘kebekuan’ ekonomi, pengangguran

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Tindakan kerajaan mengabaikan potensi inflasi akibat pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan mengakibatkan permasalahan lebih bahaya kepada ekonomi negara.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, bahaya tersebut adalah kemungkinan besar berlakunya ‘stagflasi’; keadaan di mana pertumbuhan ekonomi membeku dan meningkatnya pengangguran secara serentak.

“Kerajaan belum mengakui bahaya stagflasi berpunca dari beberapa faktor seperti pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan, penurunan permintaan dalam dan luar negeri bagi barangan dan perkhidmatan serta pengurangan pendapatan boleh guna akibat inflasi GST.

“Stagflasi adalah gabungan ekonomi yang ‘membeku’ dan inflasi yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Chin Tong, pengenalan GST dan kenaikan harga bahan bakar tentunya memaksa rakyat untuk kurang menggunakannya, sekaligus menjejaskan permintaan domestik yang menjadi penggerak utama ekonomi Malaysia.

Laporan ekonomi 2014 /2015 kerajaan menjangkakan peningkatan inflasi di antara 4-5%, dengan sebahagian besar disebabkan pelaksanaan GST dan kesan akibat pengurangan subsidi minyak pada Oktober 2014.

Kata Chin Tong, Malaysia tidak boleh bergantung kepada eksport untuk meningkatkan ekonomi kerana permintaan tiga pasaran global utama iaitu Amerikat Syarikat, Eropah dan China turut lemah atau ‘membeku’.

“Tidak boleh dinafikan pengurangan subsidi bahan api yang membuatkan barang dan perkhidmatan semakin mahal dari sebelumnya akhirnya mengakibatkan pendapatan boleh guna rakyat menyusut.

“Stagflasi selepas itu amat mengerikan dari sudut skala ekonomi makro, iaitu tanpa pertumbuhan, tidak ada kenaikan gaji, peluang pekerjaan sedikit dan kos hidup tinggi.

“Masalah ini memberi kesan sangat buruk kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah seperti yang pernah berlaku di Russia, Thailand dan Amerika Syarikat pada tahun 1970an,” katanya.

Justeru, Chin Tong menggesa kerajaan mengambil perhatian serius dan mengatasi ancaman stagflasi dengan tindak balas dasar yang sesuai untuk memastikan ekonomi negara terus bergerak atau berdepan risiko bencana. -Roketkini.com