Berita

Malaysia perlu beri tekanan pada Filipina banteras kegiatan pengganas

KULAI, 16 NOV: Kerajaan Malaysia perlu memberi tekanan kepada kerajaan Filipina untuk membanteras kegiatan pengganas yang semakin menjadi-jadi terutamanya di selatan negara itu yang mengancam keselamatan kedaulatan Sabah dan Malaysia.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dalam satu kenyataan berkata, negeri Sabah yang terkenal sebagai destinasi pelancongan paling digemari  oleh pelancong luar negara kini mengalami penurunan ketara.

“Setakat ini pasaran China dan Taiwan paling ketara mengalami penurunan sebanyak 11.8 peratus dan 2.9 peratus, bagi Januari hingga Julai 2014 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah pelancong asing daripada China adalah seramai 997,370 orang dan dari Taiwan seramai 168,962 sehingga bulan Julai 2014.

“Antara faktor yang menjadi punca penurunan tersebut disebabkan kes kehilangan pesawat MH370 dan penculikan yang seringkali berlaku di kawasan tersebut,” kata Nie Ching.

Ujarnya, meskipun Malaysia menerima 13.8 juta pelancong asing sejak Januari hingga Jun 2014 yang menunjukkan peningkatan 10.5 peratus, namun kunjungan ke Sabah mengalami penurunan.

Berdasarkan kenyataan Menteri Pelamcongan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Parlimen baru- baru ini, sebanyak 30,000 tempahan telah dibatal atau ditangguhkan.

Manakala 8,913 tempahan penumpang kapal terbang dari 76 penerbangan berjadual dan sewa khas dari China ke Sabah turut dibatalkan

Antara punca menyebabkan penurunan jumlah pelancong ke Sabah dipercayai akibat kes penculikan oleh kumpulan bersenjata di pantai timur Sabah.

Antaranya kes serangan hendap yang berlaku pada 12 Julai di Jeti Smart Water Bungalow Resort, Pulau Mabul Semporna yang menyebabkan seorang anggota polis marin Koperal Ab Rajah Jamuan terbunuh, manakala Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang dipercayai dilarikan.

Manakala pada 16 Jun 2014, pengusaha pusat ternakan ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun diculik dua lelaki bersenjata di Kampung Air Sapang, Kunak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Belanjawan 2015 mengumumkan peruntukan bagi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang menyelaras agensi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) berumlah RM660 juta.

Ia merangkumi penambahan satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis DiRaja Malaysia dan satu batalion Tentera Darat dengan 1,280 anggota.

Namun, sehingga hari ini, Konstabel Zakia Aleip dan Chan Sai Chiun masih belum dibebaskan selepas rancangan bagi rundingan terakhir diumumkan pada 5 Oktober lalu.

Anggota parlimen PKR Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid di Parlimen 13 November lalu mencadangkan kerajaan membayar RM6 juta bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi tahanan selama lima bulan di Selatan Filipina.

Bekas bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada TLDM itu berkata, ramai ahli parlimen Pakatan Rakyat menggesa kerajaan bertindak menyelesaikan kes penculikan melibatkan seorang anggota polis dan pemilik tempat ternakan ikan.

Namun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolaknya dengan alasan bahawa kerajaan mempunyai dasar tidak melayan sebarang tuntutan tebusan, walaupun untuk pegawai polis

“Setakat ini sudah lima kes penculikan, melibatkan warga asing dan seorang polis marin,” kata Nie Ching.

“Saya berharap kerajaan Malaysia dapat menyelamatkan mereka dengan cara apa sekalipun,” ujarnya. – Roketkini.com