Berita

PM mesti ‘bikin serupa cakap’ melawan puak ekstremis

KUALA LUMPUR, 17 NOV – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewajarnya tidak sekadar menyeru orang ramai terutamanya golongan majoriti untuk menolak ekstremisme; bahkan beliau sendiri mesti ‘bikin serupa cakap’ dan mengetuai perjuangan melawan ekstremisme.

“Persoalannya kenapa Perdana Menteri dan Kabinetnya tidak mengetuai perang terhadap puak ekstremis dan ekstremisme?” kaya Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok dalam satu kenyataan.

“Rakyat Malaysia bersetuju bahawa ekstremisme agama ataupun kaum mesti ditolak.

“Kenapa Perdana Menteri yang begitu banyak bercakap mengenai konsep kesederhanaan dan perlunya menolak ekstremisme, gagal untuk ‘bikin serupa cakap’?” ujar Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup pula mengulangi seruan kerajaan ditujukan kepada golongan majoriti yang berdiam diri untuk bangkit melawan ekstremisme agama.

Joseph dilaporkan berkata demikian ketika berucap di pelancaran Hari Toleransi Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Universiti Lim Kok Wing.

Najib dalam satu ucaptamanya tahun lalu di Asian Peace and Reconciliation Council/ISIS Malaysia: Dialouge on Diversity, Diplomacy and Peace di Kuala Lumpur menyeru kepada golongan majoriti senyap untuk menenggelamkan suara ekstremis.

Beliau berkata, kepelbagaian harus diraikan dan hak masyarakat berbilang kaum dan agama hidup berdampingan secara aman dan harmoni mesti dipertahankan.

Mengulas lanjut, Teresa turut membangkitkan beberapa contoh di mana Najib sendiri gagal bersuara mahu pun bertindak terhadap ekstremisme.

Ini termasuk terhadap akhbar Umno, Utusan Malaysia yang berterusan menyiarkan tulisan berbaur perkauman secara provokatif dan tidak bertanggungjawab sejurus selepas pilihanraya umum ke-13.

Najib sendiri masih gagal mengambil bertindak terhadap pemimpin Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang berkali-kali mengeluarkan kenyataan melampau terhadap penganut Kristian, termasuk mengugut untuk membakar kitab Bible berbahasa Melayu.

“Bulan lepas apabila Menteri undang-undang Datuk Nancy Shukri mendedahkan di Parlimen keputusan Peguam Negara tidak mendakwa Ibrahim Ali, timbul banyak kritikan dan kemarahan.

“Namun sehingga hari ini Kabinet masih gagal untuk menyatakan pendiriannya mengenai isu tersebut,” ujar Teresa. – Roketkini.com