Berita

1BestariNet satu lagi projek gagal Umno

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Pelaksanaan projek bernilai berbilion ringgit 1BestariNet di sekolah-sekolah seluruh negara tidak akan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar, malah lebih melebarkannya, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, pendekatan Kementerian Pendidikan menerusi projek RM4.1 bilion untuk 10,000 buah sekolah seluruh negara yang melibatkan pemasangan jalur lebar 4G berkelajuan tinggi kononnya untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar hanya indah khabar dari rupa.

“Cadangan kementerian memang kedengaran hebat dari segi teorinya, tapi malang, realiti yang berlaku adalah sebalikya.

“Malah pendekatan kementerian melaksanakannya di semua 10,000 buah sekolah seluruh negara akan melebarkan jurang bandar, luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Projek 1BestariNet dilancarkan Kementerian pada Disember 2011, melibatkan usaha penyediaan jalur lebar di semua sekolah seluruh negara melalui sistem e-pembelajaran Persekitaran Pembelajaran Virtual (VLE), dikatakan sebagai alat teknologi yang mampu menghubungkan jarak bandar dan luar bandar.

Rasionalnya ialah dengan menyediakan perhubungan internet kepada sekolah luar bandar dan akses ‘bilik darjah siber’ melalui VLE, pelajar luar bandar tidak lagi ketinggalan dari segi geografi dan mampu mendapatkan maklumat tanpa batas dalam dunia digital.

Namun, laporan Ketua Audit Negara 2013 siri ke 3 mendedahkan, Projek 1BestariNet tidak memenuhi sasaran tempoh dua setengah tahun selain gagal menyediakan VLE kepada 10,000 sekolah di seluruh negara.

Laporan itu mendakwa, projek 1BestariNet dilaksanakan sebelum guru dan pelajar dilatih sepenuhnya untuk menggunakan VLE.

Projek tersebut sepatutnya menyediakan infrastruktur bagi 10,000 buah sekolah di negara ini dalam tempoh 30 bulan bermula 13 Disember 2011.

Laporan audit juga mendedahkan projek yang sepatutnya disiapkan pada Jun lalu tersebut gagal menyambungkan akses Internet kepada 4,176 pengguna sasaran dan terlewat selama 439 hari tanpa dikenakan penalti.

“Siri ketiga Laporan Ketua Audit Negara telah menunjukkan bahawa walaupun 8,807 sekolah telah dilengkapi dengan sistem VLE, statistik login di seluruh negara bagi Mac 2014 adalah di antara 0.01 ke 4.96 peratus sahaja.

“Penggunaannya di kalangan pelajar adalah antara hanya 0.17 hingga 0.64 peratus, iaitu kurang daripada satu peratus. Ini adalah angka yang membimbangkan, memandangkan RM663 juta telah dibelanjakan dalam tempoh dua tahun lalu,” ujarnya.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu menyatakan, antara faktor masalah yang dikenal pasti laporan audit adalah kekurangan teknologi termasuk akses kepada 1BestariNet yang lembap serta kekurangan alat tambahan seperti komputer riba dan projektor dalam bilik darjah.

“Kajian terhadap 46 buah sekolah dan 491 responden mendapati kelajuan purata jalur lebar adalah 0.2 Mbps hingga 3.62 Mbps, jauh lebih rendah daripada perjanjian dalam kontrak iaitu 4Mbps ke 20Mbps.

“Akibatnya, tidak lebih sekadar 30 hingga 40 pengguna saja boleh log in ke dalam VLE pada satu masa,” katanya. -Roketkini.com