Berita

Mengapa kerajaan bayar sewa RM29.2 bilion untuk tanah sendiri? Siapa buat duit?

KUALA LUMPUR, 18 NOV: DAP hari ini menuntut Kementerian Kewangan supaya menjelaskan mengapa kerajaan membayar sewa sebanyak RM29.2 bilion ke atas tanah milik mereka sendiri.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, satu perjanjian amat meragukan telah ditandatangani Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (FLC), di mana ia membolehkan bayaran dibuat kepada syarikat dimiliki kementerian, Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Menurutnya, bayaran itu meliputi sewa untuk 186 lot tanah dan dibuat menerusi pembayaran berperingkat sebanyak 30 kali selama 15 tahun bermula dari 15 Februari 2013 sehingga 13 Ogos 2027.

“Ibaratnya seperti saya memiliki satu pangsapuri, lalu saya sewakan pangsapuri itu kepada isteri saya, kemudian saya sewa kembali pangsapuri itu daripada isteri dengan membayar sewa kepadanya!” katanya.

jadual bayaran

Jelas Kian Ming, PFI mendapat kesemua dana mereka menerusi pinjaman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM27.8 bilion, yang mana menjadikan syarikat itu memiliki liabiliti ketiga terbesar di kalangan semua syarikat milik kerajaan selepas Petronas dan Khazanah Nasional

“Apakah tujuan perjanjian ini sebenarnya untuk menyembunyikan perbelanjaan kerajaan dari defisit belanjawan supaya ia kelihatan berkurang?” soalnya.

Kerajaan BN sebelum ini dilaporkan sedang berusaha untuk mengurangkan defisit fiskal kepada tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun defisit fiskal diramalkan sebanyak sebanyak 3.5 peratus tahun ini, berbanding 3.9 peratus tahun lalu. – Roketkini.com