Berita

Pendatang Haram di Sabah: Tubuh ‘Jawatankuasa Pelaksanaan’ segera

KUALA LUMPUR, 18 NOV: DAP mendesak kerajaan menubuhkan ‘Jawatankuasa Pelaksanaan’, bukan sekadar jawatankuasa untuk mengkaji laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Haram di Sabah seperti yang diumumkan kabinet Sabtu lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, itulah satu-satunya cara yang dapat membuktikan kerajaan benar-benar komited dan memiliki iltizam politik untuk menamatkan masalah pendatang haram di negeri tersebut yang sudah berlanjutan selama lebih 40 tahun.

“Jumaat ini selepas mesyuaratnya, kabinet perlu melantik Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan untuk melaksanakan cadangan yang dikemukakan laporan itu, bukan hanya untuk mengkajinya.

“Jawatankuasa untuk mengkaji hanya satu lagi usaha sia-sia yang membazir masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau menggesa jawatankuasa itu nanti perlu diberi kuasa peringkat Persekutuan dan Negeri yang sewajarnya supaya dapat segera melaksanakan cadangan yang dikemukakan RCI.

“Semua kementerian peringkat negeri dan persekutuan yang berkaitan juga perlu berada di bawah skop dan arahan jawatankuasa yang diketuai Pairin ini.

“Pada masa sama, jawatankuasa ini perlu dalam masa dua bulan membentangkan laporan berhubung cadangan RCI yang tak dapat dilaksanakan bersertakan sebabnya, dan meminta kuasa parlimen untuk langkah seterusnya,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Selepas memeramnya selama lebih enam bulan, kabinet Sabtu lalu akhirnya mengumumkan untuk membentang laporan RCI pada bulan depan.

Berhubung perkara itu, Kit Siang menggesa kerajaan membentangkan laporan itu di Parlimen pada minggu hadapan, sebelum sesi persidangan Parlimen tamat pada 27 November ini.

“Walaupun mengatakan akan membentangkan kepada umum bulan depan, laporan tersebut tidak boleh mengelak daripada kebertanggungjawaban dan akauntabiliti parlimen.

“Malah ada tiga menteri kabinet di Sabah. Mengapa mereka setuju dengan tindakan kabinet yang cuba mengelak daripada membentangnya di Parlimen?” soalnya.

Katanya lagi, semua pihak, sama ada daripada BN atau pun Pakatan, perlu bersatu dalam mendesak supaya tiada lagi penangguhan bagi menamatkan masalah yang dihadapi rakyat Sabah sejak sekian lama ini. – Roketkini.com