Berita

P Pinang rancang jumpa 1MDB isu janji rumah mampu milik

GEORGE TOWN, 18 NOV: Kerajaan Pulau Pinang akan mengaturkan satu perjumpaan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung isu pembelian tanah 234 ekar tanah di Air Itam tahun lalu dengan harga RM1.38 bilion, 95 peratus lebih tinggi daripada penilaian yang dibuat pada 2011.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, pertemuan itu sudah dirancang sejak sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

“Salah satu pelaburan 1MDB adalah pembelian RM1.38 bilion untuk 234 ekar tanah di Air Itam, yang melibatkan ribuan setinggan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjanjikan untuk membina 9,999 buah rumah awam mampu milik ketika PRU yang lalu.

“Dengan anggaran kerugian RM1.3 bilion bagi projek itu, 1MDB membayangkan akan membuat projek lain untuk menampung kerugian. Ini bertentangan dengan jaminan awal, bahawa ia hanya untuk perumahan awam dan mampu milik.

“Saya telah tawarkan untuk membentuk delegasi yang turut menyertakan Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid dalam pertemuan ini, selepas Jahara turut menyuarakan keresahannya dengan pelaburan 1MDB ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia juga berhubung jumlah pinjaman RM41.9 bilion yang meningkatkan kos pembiayaan daripada RM1.6 bilion kepada RM2.4 bilion, dan menyebabkan kerugian RM665.3 juta untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2014.

Kata Setiausaha Agung DAP itu, masalah yang menimpa 1MDB, terutama berhubung pembiayaan hutang dan faedahnya adalah persoalan penting yang melibatkan kepentingan negara.

“‘Asset base’ 1MDB meningkat kepada RM51.4 bilion berbanding RM44.6 bilion pada tahun kewangan 2013,dengan pinjaman juga meningkat daripada RM36.2 bilion kepada RM41.9 bilion.

“Jumlah hasilnya meningkat 50 peratus, daripada RM2.6 bilion kepada RM4.3 bilion tahun ini. Ia menyebabkan 1MDB menanggung rugi RM665.3 juta, disebabkan kos pembiayaan yang meningkat kepada RM2.4 bilion, berbanding RM1.6 bilion pada tahun kewangan sebelumnya,” katanya lagi.

Pelbagai persoalan tersebut tidak dijawab oleh Pengerusi 1MDB dalam sesi taklimat media semalam.

“Beliau tidak menjawab soalan berhubung beban yang ditanggung kerajaan Pusat, termasuk surat sokongan kerajaan untuk pinjaman RM10.06 bilion (USD3 bilion) serta pinjaman-pinjaman lain,” katanya lagi. – Roketkini.com