Berita

‘Penang Goes Orange 2014’, kempen tangani keganasan terhadap wanita

GEORGE TOWN, 19 NOV: Demi memartabatkan peranan wanita ke arah kesaksamaan dan pembangunan masyarakat maju, kerajaan Pulau Pinang melancarkan ‘Penang Goes Orange 2014’, kempen menentang keganasan terhadap wanita (VAW).

Kempen peringkat negeri pertama ini selaras dengan 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender antarabangsa telah dilancarkan oleh Exco Belia Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Chong Eng dengan kerjasama Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Chong Eng berkata, VAW adalah masalah umum terbesar bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di seluruh negara kerana merosakkan keluarga dan menghalang kemajuan masyarakat.

“Malaysia tidak boleh menjadi negara maju jika kita percaya bahawa adalah perkara biasa dan boleh diterima untuk mendera isteri, saudara perempuan, anak-anak perempuan dan rakan-rakan perempuan dari segi fizikal, emosi dan mental.

“Kita tidak boleh membenarkan keadaan ini berterusan. Rakyat Pulau Pinang harus mengatakan ‘tidak’ kepada ketidaksamaan gender yang merupakan punca VAW.

“Rakyat Pulau Pinang harus bersolidariti dengan mangsa VAW dan menggalakkan mangsa yang menderita dalam diam untuk tampil serta mendapatkan keadilan,” katanya dalam ucapan di Komtar, semalam.

Pengerusi Wanita DAP itu menyatakan, VAW sehingga kini masih menjadi antara masalah di Pulau Pinang dengan sejumlah 4,025 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dari tahun 2000 hingga 2013.

Pada 2013 sahaja, sejumlah 240 kes keganasan rumah tangga, 117 kes rogol dan 90 kes mencabul kehormatan serta beberapa kes tidak dilapor atau diambil tindakan.

Sehubungan itu, beliau mempelawa seluruh rakyat negeri menunjukkan sokongan dengan menyertai pelbagai aktiviti yang akan dijalankan selama tiga minggu bermula 23 November hingga 10 Disember 2014.

Upacara pelancaran rasmi Penang Goes Orange 2014 akan diadakan di Queensbay Mall pada jam 6 petang, 25 November 2014.

“Selepas pelancaran tersebut, pelbagai aktiviti komuniti dan bengkel diadakan di George Town Literary Festival pada 28 November, Air Itam 29 November, Sungai Pinang 30 November, Balik Pulau 6 Disember dan lain-lain.

“Kesejahteraan kaum wanita di Pulau Pinang merupakan tanggungjawab kita semua, marilah kita bekerja keras untuk menghentikan VAW bersama-sama,” kata Chong Eng. – Roketkini.com