Berita

Banjir Cameron Highlands: Adnan Yaakob dan Palanivel perlu bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk G Palanivel dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob harus bertanggungjawab dalam tragedi banjir lumpur di Cameron Highlands, kata Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata, kecuaian Adnan dan Palanivel mengambil tindakan serius terhadap aktiviti penerokaan tanah adalah punca tragedi yang meragut lima nyawa.

“Adnan dilaporkan mendakwa jika kerajaan negeri menjalankan penguatkuasaan ketat, akan ada orang yang menyerangnya sebagai tidak berperikemanusiaan. Kenyataan ini amat dangkal dan inilah dia hasilnya (banjir lumpur).

“Kenyataan Palanivel juga amat mengejutkan apabila dia menyatakan tidak tahu apa punca masalah, walaupun pemantauan dibuat namun tetap sukar untuk dikawal’.

“Amat jelas di sini, kedua-duanya perlu bertanggungjawab,” kata Teresa dalam satu kenyataan.

Tambah Ahli Parlimen Seputeh itu lagi, jika Palanivel tidak mengetahui punca masalah, bagaimana dia boleh memastikan pencerobohan dapat dibendung dan kawalan dibuat secara berkesan.

Kecuaian Palanivel melaksanakan tindakan juga telah mendapat kecaman hebat dari Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Apa yang Palanivel buat? Tiada apa. Rakyat kini menderita secara mental dan fizikal apabila bencana ini berlaku.

“Rakyat telah mengundi dan memilih beliau pada pilihan raya lalu. Adakah ini yang diberikannya kepada rakyat? kata Teresa. – Roketkini.com