Berita

“Dari bahas sekolah vernakular, lebih baik Umno debat skandal 1MDB”

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Umno sepatutnya membahaskan masalah kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan ekonomi negara dalam Perhimpunan Agungnya minggu depan, bukannya isu seperti sekolah vernakular yang dijamin Perlembagaan.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim mempersoalkan gesaan beberapa pemimpin Umno Bahagian agar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 membincangkan soal pemansuhan sistem tersebut.

Malah Naib Presiden Umno sendiri Datuk Seri Hishamuddin Hussein minggu lalu mengatakan sekolah vernakular dijangka mendominasi PAU kali ini.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung MCA 12 Oktober lalu menjamin masyarakat Cina tidak perlu bimbang dengan masa depan sekolah vernakular.

“Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengatakan bahawa ia adalah sebahagian daripada warisan negara.

“Jadi apakah yang cuba dicapai Umno dengan menjadikannya debat utama PAU, dalam konteks sekolah sistem aliran melawan sekolah vernakular?

“Adakah ia helah untuk menyalahkan sistem itu terhadap kegagalan dasar kerajaan melahirkan perpaduan nasional yang sebenar-benarnya, atau prestasi teruk BN dalam dua pilihanraya umum yang lalu?” kata Teresa dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa semua pihak tidak memperjudikan pendidikan hanya untuk mendapatkan sokongan politik.

Ia berikutan seruan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar sistem vernakular diadakan di peringkat rendah sahaja, dengan alasan ia menghalang perpaduan.

Kata Naib Pengerusi DAP itu lagi, skandal kewangan dan hutang 1MDB yang hangat diperkatakan kini jauh lebih penting untuk didebatkan.

“Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mempersoalkan pelbagai kontroversi dalam 1MDB. Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sendiri membangkitkan persoalan hutang besar dan penggunaan dana syarikat itu,” katanya lagi.

Antara isu yang dibangkitkan Mahathir sebelum ini adalah tindakan 1MDB yang membeli penjana kuasa daripada Genting dengan harga lebih tinggi daripada pasaran, serta hutang berpuluh bilion ringgit walaupun baru lima tahun ditubuhkan.

Tanya menteri mana hantar anak ke sekolah luar negara

Kata Teresa, jika Umno benar-benar mengambil berat tentang soal pendidikan, mereka seharusnya berbincang secara rasional tentang kemerosotan sekolah kebangsaan sehingga tidak menjadi pilihan utama ibu bapa, termasuk pimpinan Umno sendiri.

“Perwakilan Umno perlu tanya menteri dan pemimpin mana yang tidak yakin dengan sekolah kebangsaan kita sehingga hantar anak mereka ke sekolah swasta atau antarabangsa,” ujarnya. – Roketkini.com