Berita

Syarikat hartanah dapat RM20 juta peruntukan pertanian belanjawan Johor

JOHOR BAHRU, 26 NOV: DAP Johor mempersoalkan tindakan kerajaan negeri memberi peruntukan RM20 juta kepada Permodalan Darul Ta’zim (PDT), syarikat yang tidak memiliki pengalaman dalam bidang pertanian.

Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Mahdzir Ibrahim dan Adun Bekok Lim Eng Guan dalam kenyataan bersama menegaskan tindakan itu menimbulkan pelbagai keraguan terutamanya kepada petani, pekebun dan pemilik tanah.

“Ini kerana modus operandi seumpamanya sering digunakan pihak tertentu untuk mengambil tanah-tanah dan dimajukan dalam projek mewah yang tidak ada kena mengena dengan matlamat pertanian.

“Perniagaan atau aktiviti utama PDT bukanlah dalam bidang pertanian atau perniagaan berasaskan pertanian, sebaliknya pembangunan hartanah,” kenyataan tersebut dipetik.

Antara projek berskala mewah PDT adalah Township Resort di Desaru Coast. selain terlibat sebagai rakan kongsi dengan Destination Resort & Hotel (DRH) yang mempunyai hubungan langsung dengan Khazanah.

Dalam Belanjawan Johor minggu lalu, Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin mengumumkan peruntukan RM20 juta dari RM29 juta kepada PDT untuk membeli dan menyelamatkan tanah pertanian orang Melayu.

Sedangkan menurut Laporan Audit Negara 2011, PDT tidak pernah memberi dividen kepada kerajaan negeri bagi tahun 2007 hingga 2011 atau tahun-tahun sebelumnya.

Mahdzir dan Eng Guan menyatakan, apa yang berlaku di Pengerang serta kawasan sekitar Gelang Patah hingga Selat Johor cukup memberi pengajaran kepada rakyat.

Justeru itu, kerajaan negeri digesa mengkaji semula langkah itu, selain melibatkan lebih ramai usahawan tani dan memperbaiki pelan Taman Kekal Pengeluaran Makan (TKPM) .

“Jika usaha ini tidak diberikan, apa jua slogan samada Pembangunan Untuk Rakyat atau Pelaburan Untuk Rakyat hanya akan menjadi retorik,” tegasnya. – Roketkini.com