Berita

Kerajaan perlu jelas rasional beza 20 sen RON95 dan RON97

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok Suh Sim menggesa kerajaan menjelaskan mengapa perbezaan petrol RON95 dan RON97 hanya 20 sen, sedangkan RON95 tidak dikenakan cukai jualan.

“Kenapa ada perbezaan 20 sen antara kedua-dua jenis petrol jika tidak ada cukai jualan dikenakan ke atas RON95? Atau pengecualian cukai yang dulu diambil kira?

“Jika cukai jualan yang dulu adalah faktornya, harga RON95 sepatutnya lebih murah.

“Adakah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek akan mengatakan bahawa adalah lebih murah untuk menghasilkan Gred Premium, RON97?

“(Ini) terlalu murah biarpun cukai jualan 58 sen dikenakan ke atasnya,” kata Teresa dalam satu kenyataan.

Harga semasa RON95 adalah RM2.26 seliter manakala RON97 adalah RM2.46 seliter.

Hasan semalam mengumumkan peningkatan 3 sen harga diesel berpunca oleh jumlah subsidi besar diberikan kerajaan sebelum ini.

Justeru itu, Teresa mendesak Hasan mendedahkan faktor-faktor yang diambil kira dalam pengiraan harga bahan api mengikut kaedah apungan terkawal.

“Tidak wajar untuk Hasan berfikir bahawa penjelasannya memgenai kenaikan harga diesel sudah memuaskan, dia mesti mendedahkan secara terperinci bagaimana sistem apungan terkawal berfungsi dan bagaimana harga baru bahan api dikira.

“Mengapa subsidi dulu digunakan sebagai faktor? Apakah sistem apungan terkawal digunakan sebagai alat untuk mendapatkan balik subsidi dulu?,” soal Naib Pengerusi DAP itu. – Roketkini.com