Berita

Masih banyak ruang untuk tangani rasuah dalam negara

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Walaupun kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (CPI, TI) bertambah baik, masih banyak yang boleh dilakukan untuk membuktikan perubahan tersebut bukan sekadar publisiti kerajaan.

Kedudukan CPI Malaysia meningkat ke tempat ke 50 pada tahun ini dari kedudukan ke 53 tahun lalu, ditakrifkan perubahan yang baik dibandingkan dengan kedudukan negara pada tahun 2011 di tempat ke 60.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian mengucapkan tahniah kepada pihak yang berusaha membanteras rasuah, namun menegaskan tidak boleh terus berpuas hati.

“Bagi menunjukkan komitmen membanteras rasuah, kerajaan mesti memberi lebih kebebasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain menambah ketelusan kontrak kerajaan,” kata Kian Ming dalam satu kenyataan.

Ujarnya, SPRM perlu bebas seperti suruhanjaya perkhidmatan dengan kuasa melantik, memecat pegawainya sendiri, dan kuasa pendakwaan selain pengawasan oleh Parlimen dan orang ramai.

“Kedua, semua kontrak kerajaan mestilah diberikan melalui tender terbuka. Sekiranya wujud rundingan terus, kerajaan mestilah menjelaskan kenapa hal tersebut berlaku,” kata Kian Ming.

Ujarnya, terma dan syarat kontrak boleh diakses orang ramai, kerana pada masa ini, bilangan kontrak rundingan terus di laman web MyProcurement amat terhad.

Kata Kian Ming kerajaan cuba melindungi pihak tertentu dengan dengan tidak menyiarkan kontrak rundingan terus melibatkan lebuhraya KIDEX, DASH, WCE, SUKE, SKIP dan EKVE, termasuk dokumen tender projek insinerator di Kepong.

“Kerajaan mesti menjadikan pendedahan kontrak-kontrak ini sebagai syarat wajib proses tender.

“Syarikat yang tidak mahu kontraknya didedahkan kepada umum tidak wajar dibiarkan menyertai proses tender,” tegasnya.

Tegasnya, sekiranya penambahbaikan ini tidak dilakukan, prestasi baik negara dalam kedudukan CPI hanya akan bersifat sementara dan tidak mampu meyakinkan orang ramai yang sudah sedia ragu-ragu. – Roketkini.com