Berita

RCI Sabah sahkan penglibatan kerajaan dalam projek IC

KOTA KINABALU, 4 DIS: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah mengesahkan spekulasi rakyat negeri ini mengenai keterlibatan kerajaan dalam projek IC.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phin berkata, rakyat Sabah tidak percaya dengan penemuan kononnya kerajaan dan parti politik tidak terlibat  dalam projek IC.

“Kesaksian bekas pegawai-pegawai JPN adalah mencukupi untuk mengaitkan pihak kerajaan.

“Kita masih ingat tiga bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memberi keterangan kepada panel RCI dan kemudian ditahan di bawah ISA kerana memberi kad pengenalan kepada warga asing,’ kata Jimmy dalam satu kenyataan.

Laporan RCI dibentangkan semalam mendapati kononnya tidak ada penglibatan parti politik, mahupun motif politik dalam Projek IC.

Malah ia sekadar menyalahkan sindiket melibatkan bekas pegawai JPN dan gejala rasuah di jabatan tersebut.

“UMNO terlibat. Ramai (dari kalangan warga asing yang mendapat kad pengenalan) turut didaftarkan sebagai pengundi,” ujar Jimmy.

Penemuan RCI Sabah mendapati sejumlah 68,703 warga asing diberi kerakyatan antara tahun 1963 sehingga 31 Ogos 2013. Sebahagian darinya didapati turut berdaftar sebagai pengundi, namun angka sebenar tidak diketahui.

MenuruT Jimmy, seorang bekas tahanan ISA Jabar Khan yang juga setiausaha pasukan projek tersebut pernah mendedahkan penglibatan pemimpin UMNO.

Antaranya Musa Aman dan Yahya Hussein, selain keterangan pegawai lain mengenai proses membuat kad pengenalan di sebuah kediaman pemimpin UMNO di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Jimmy menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan kerajaan menghalang wakil rakyat DAP menghadiri sesi pembentangan RCI semalam, sedangkan isu tersebut melibatkan kepentingan awam.

Ujarnya, laporan tersebut bukan sahaja tidak dibentangkan di Parlimen, malah hanya dibentangkan di Wisma Tabung Haji, oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa DAN Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Tidak ada seorang pun menteri persekutuan hadir ke majlis tersebut, seolah-olah (RCI) tidak mempunyai sebarang kepentingan di sisi kerajaan.” ujar Jimmy. – Roketkini.com