Berita

UMNO sebar kebencian kaum, Zahid Hamidi tunggu apa lagi?

KUALA LUMPUR, 5 DIS: DAP hari ini sekali lagi mengecam tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ‘membatu’ daripada mengarahkan pihak polis memulakan siasatan segera terhadap tindakan menghasut kebencian kaum pemimpin Umno dalam Perhimpunan Agung mereka, baru-baru ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, sikap membisu Zahid jelas menunjukkan bahawa UMNO memang bersedia bersekongkol memecahbelah keharmonian kaum dalam negara.

“Berapa lama lagi Zahid perlukan sebelum pihak polis akan bertindak terhadap demikian banyak laporan yang telah dibuat ke atas bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan perwakilan Pulau Pinang Datuk Mohd Zaidi Mohd Said?

“48 jam? 96 jam? 240 jam? atau 480 jam?

“Saya memberi tempoh 480 jam atau 20 hari sehingga 18 Disember kepada Zahid sebelum meminta untuk mengadakan pertemuan dengannya bagi mengenalpasti apa sebabnya beliau gagal menunaikan janji?, tegasnya dalam satu kenyataan.

Mashitah yang juga Ketua Umno Baling dalam ucapan PAU telah mendakwa kononnya orang bukan Islam di Kedah membakar helaian Al-Quran pada waktu sembahyang.

Namun, pada 24 November lalu, dakwaan mengarutnya itu telah disanggah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir yang menyatakan tidak ada insiden orang Cina membakar Al-Quran ‘helai demi helai dalam satu upacaya sembahyang’.

Mukhriz berkata, insiden tersebut dilakukan oleh seorang lelaki Melayu tidak siuman yang telah mengoyak-ngoyakkan Al-Quran dan beliau kini dirawat di wad psikiatrik.

Kit Siang menegaskan, semalam beliau sendiri telah melawat medan selera Taman Anggerik di Alor Setar tempat disebut Mashitah kononnya perbuatan membakar Al-Quran dilakukan.

“Dalam perbualan bersama pemilik gerai dan orang ramai di tempat tersebut, telah disahkan bahawa Mashitah benar-benar bersalah kerana mengeluarkan ucapan berbaur kebencian dan penipuan.

“Sekiranya Zahid tidak senang hati dengan kenyataan Mukhriz dan penemuan kami dalam misi mencari kebenaran semalam, saya cadangkan beliau melawat sendiri medan selera Taman Anggerik,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Zahid sebelum ini pernah bersumpah dengan nama Allah (wallahi billahi tallahii) bahawa polis akan menyiasat dalam tempoh 24 jam dengan menggunakan Akta Hasutan terhadap sesiapa saja yang menyentuh isu-isu sensitif. -Roketkini.com