Berita

DAP bimbang krisis ekonomi berulang akibat kejatuhan harga minyak

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Kerajaan perlu lebih jujur menerangkan kedudukan terkini kewangan negara di tengah kebimbangan kemungkinan berlakunya krisis ekonomi akibat kejatuhan harga minyak global, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Chin Tong berkata, beliau terkejut dengan ‘mentaliti’ Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berterusan menafikan kebimbangan terhadap penurunan harga minyak dunia yang akan menyebabkan kemorosotan pendapatan bersih kerajaan.

Menurutnya, ekonomi negara akan terjejas teruk akibat penurunan harga minyak mentah sebanyak 30 peratus kerana sebahagian pendapatan kerajaan adalah dari hasil petroleum.

“Bagi setiap USD1 kejatuhan harga minyak, dianggarkan kerajaan boleh mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM650 juta.

“Kerajaan dalam Belanjawan 2015 menjangkakan bahawa harga minyak adalah pada kadar USD110 setong untuk tahun 2014 dan USD105 setong, 2015.

“Saya menggesa Chua bercakap benar menerangkan kedudukan fiskal terkini dan senario ekonomi negara akibat kejatuhan harga minyak, bukannya terus berpura-pura,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Pada 3 Disember lalu, Chua mendakwa penurunan harga minyak dunia tidak memberikan kesan buruk kepada defisit negara kerana harga purata dari Jun hingga November telah memenuhi jangkaan yang ditetapkan.

Katanya, ini kerana Malaysia bergantung kepada minyak mentah (Tapis Crude) dan bukannya Brent Crude.

Harga Tapis Crude adalah campuran minyak paling mahal dengan harga purata melebihi USD100 (RM344) setong antara bulan Jun hingga November.

Kata Chua, penurunan harga minyak global membolehkan kerajaan meredakan skim subsidi bahan api dengan penurunan harga, sekaligus berpotensi melihat kenaikan dalam eksport berikutan sentimen pengguna bertambah baik.

Menyelar kenyataan itu, Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menekankan bahawa Tapis Crude dan Brent Crude pernah mencecah pada harga USD71 (RM244.24), empat minggu lalu.

“Biarpun Tapis berharga 5 peratus lebih tinggi daripada Brent, tapi penurunan harga minyak tetap memberi kesan kepada kedua-duanya.

“Memang Tapis lebih tinggi sedikit daripada Brent, tapi pada dua bulan lalu harganya berlegar di bawah USD100 setong, malah dua minggu lalu ia lebih rendah berbanding USD80 (RM275.20),” tegasnya. – Roketkini.com